Malaysia Airport lantik Zainun sebagai pengerusi baharu

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini mengumumkan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan yang sudah bersara, Tan Sri Zainun Ali, sebagai pengerusi baharu berikutan peletakan jawatan Tan Sri Syed Zainol Anwar Ibni Syed Putra Jamalullail.

MAHB dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pengunduran Syed Zainol dibuat selepas penutupan bursa hari ini.

Zainun akan mengambil alih berkuatkuasa esok.

Zainun telah memegang pelbagai jawatan di dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman.

Beliau telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada Ogos 1996 dan menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan mulai April 2012.

Beliau bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 4 Oktober tahun lepas.

Lembaga Pengarah dan kumpulan melahirkan penghargaan kepada Syed Zainol, yang telah menjadi pengerusi sejak dari 7 Jun 2017 berikutan sumbangan beliau yang tidak ternilai semasa berkhidmat dengan syarikat.

"Sepanjang tempoh itu, Syed Zainol telah membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi dalam mencapai prestasi kewangan serta kualiti perkhidmatan dan operasi.

Artikel Berkaitan:

"Beliau amat komited dalam memastikan tadbir urus korporat dan keutuhan diutamakan di seluruh organisasi. Dengan pengalaman yang luas dan kepimpinan cemerlang, Syed Zainol berjaya mendorong syarikat melalui perubahan transformasi budaya," katanya.

MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan antarabangsa di Istanbul, Turki. - Bernama