X

Kindly register in order to view this article
!

Pendidikan tanpa kebenaran

A
A

CUBA tanya seorang profesor bidang pendidikan daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya soalan cepumas ini: “Apakah matlamat pendidikan?”

Anda mungkin menjangka responsnya seperti berikut: “Matlamat pendidikan adalah untuk memperkembangkan potensi individu.”

Jika responsnya ini, cuba tanya pula soalan lain: “Saya yakin potensi saya yang terpendam ialah menjadi transgender supaya saya benar-benar menjadi insan yang menyeluruh dan bersepadu! Inikah pendidikan?”

Andai kata respons profesor berikut, “Matlamat pendidikan mestilah berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”, cuba tanya pula soalan ini, “Transgender pun percaya dan patuh kepada Tuhan. Tuhan telah mencipta fitrah saya sebagai transgender. Saya hanya ingin patuh kepada fitrah saya yang dicipta oleh Tuhan! Bukankah begitu profesor?”

Andai kata respons profesor pula adalah berikut, “Matlamat pendidikan adalah melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.” Cuba pula tanya soalan ini: “Jasmani saya seorang lelaki tetapi emosi saya seorang wanita. Intelek saya kritis aras tinggi dan rohani saya percaya kepada Tuhan. Maka untuk harmonikan semua domain-domain ini, maka saya perlu bertukar menjadi transgender! Inikah pendidikan?”

“Tambahan pula, kalau ikut teori yin-yang, kita perlu seimbangkan feminin dan maskulin dalam diri kita. Setiap dimensi feminin ada titik maskulinnya dan setiap dimensi maskulin ada titik femininnya, adakah ini bermakna saya menjadi lebih seimbang kalau saya memperkembangkan potensi saya sebagai biseksual?”

Mungkin profesor akan jawab: “Matlamat pendidikan adalah berakhlak mulia!” Maka cuba pula tanya soalan ini: “Adakah transgender sahaja berakhlak buruk? Siapakah yang berhak memutuskan bahawa sesuatu perkara adalah baik atau buruk?”

“Bukankah Falsafah Pendidikan sendiri yang berkata bahawa matlamat pendidikan ialah memperkembangkan potensi individu. Maka, saya sebagai individu yang berkeupayaan berfikir aras analitik dan kreatif mengikut Taksonomi Bloom juga berhak membuat keputusan sebagai seorang individu yang berpotensi tersendiri. Bukankah begitu profesor?

Andai kata profesor pula jawab: “Kamu kena memberi sumbangan kepada kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara!” Maka cuba tanya soalan terakhir ini: “Saya menjadi transgender tidak pun memudaratkan orang lain. Bahkan bila saya mencapai keseimbangan dan keharmonian diri sebagai seorang individu, sudah pasti saya akan lebih bersemangat untuk memberi sumbangan. Bukankah begitu profesor?”

Bila kita menilai senario di atas, kita mula faham mengapa Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dibuat pada tahun 1980-an memerlukan penilaian semula yang lebih teliti. Dunia sudah rancak berubah tetapi adakah kita masih pakai falsafah 1980-an tanpa islah mana yang perlu?

Ayat al-Quran pun berubah dari segi struktur dan mesejnya bila umat Islam berhijrah dari Makkah ke Madinah setelah berada di Makkah selama 13 tahun. Ayat Makkah dan ayat Madinah jelas berbeza. Inikan pula FPK yang sudah berumur 30 tahun yang dibuat sebelum wujudnya Google!

Pada zaman yang sedang menuju Revolusi Industri 5.0, dunia sedang mengalami apa yang Perdana Menteri sebut sebagai New Normal. Anak-anak kita mahu tak mahu bukan sekadar terdedah tapi disumbat minda mereka berulang-ulang kali dengan pelbagai ideologi yang luar biasa.

Anak kita bertemu dengan mereka yang kata mereka percaya pada Tuhan tapi mereka tak berpegang pada mana-mana agama.

Anak kita bertemu dengan mereka yang kata mereka tekun membuat meditasi rohani tapi mereka ini pula tidak percaya kepada Tuhan!

Kita mengalami krisis perspektif kebenaran tetapi perkataan ‘kebenaran’ sendiri langsung tidak dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita seolah-olah ia hanya layak disiratkan, di belakangkan dan disembunyikan.

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus