X

Kindly register in order to view this article
!

KBS cadang hantar permohonan khas untuk atlet Road to Tokyo

Reezal Merican
A
A

Persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang memerlukan fasiliti latihan khas bagi atlet mereka yang terlibat dengan Program Road to Tokyo (RTT) diminta menghantar permohonan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, atlet RTT yang memerlukan fasiliti spesifik seperti gelanggang badminton, kolam renang, bilik gimnasium dan pelayaran dicadangkan berbuat demikian bergantung kepada keadaan.

“Saya mencadangkan untuk mengemukakan permohonan khas kepada mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas Hari Raya Aidilfitri nanti untuk cadangan latihan pusat sukan berprestasi tinggi RTT,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Reezal pada pagi tadi mengadakan perjumpaan maya bersama wakil NSA yang juga pemegang kepentingan program latihan elit RTT yang membincangkan proses kelayakan terkini ke Sukan Olimpik dan Paralimpik, perancangan program latihan dan juga program dijalankan oleh pihak persatuan termasuk program pembangunan di peringkat negeri.

Reezal turut menyampaikan perancangan garis panduan (SOP) yang diusahakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk sukan yang dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti golf, olahraga dan berbasikal serta sukan yang masih tidak dibenarkan dalam PKPB tetapi boleh mengembangkan skop latihan di luar rumah, padang atau tempat terbuka.

“Saya ada pesan kepada NSA agar merancang bersama atlet, jurulatih dengan MSN dan ISN untuk mengambil peluang mengembangkan skop dan program latihan sedia ada dengan mematuhi larangan dan arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.

NSA yang menyertai persidangan video itu ialah badminton, renang (termasuk terjun), pelayaran, berbasikal, karate, gimnastik, golf, olahraga para, memanah, powerlifting dan boccia.

Sesi santai dan interaktif itu turut disertai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin; Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli; dan Chef-de-Mission Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!