SOP PKP masih berkuatkuasa dalam tempoh PKPB

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai termasuk majikan diingatkan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia masih terpakai dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selagi rakyat mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian, rantaian penularan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) akan dapat diputuskan.

"Seperti dimaklumkan sebelum ini, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPB iaitu bagi membuka semula beberapa sektor ekonomi secara berhati-hati dan terkawal.

"Peniaga, pengusaha dan majikan perlu patuh kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

"Perhimpunan ramai dan aktiviti yang mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19 adalah masih tidak dibenarkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu Dr Noor Hisham juga mahu rakyat di seluruh negara yang menjalani PKPB patuh kepada SOP yang ditetapkan.

"Selain patuhi SOP, orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Aspek lain yang perlu dipatuhi ialah penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter," katanya.

Artikel Berkaitan: