KKM rayu rakyat kekal patuh SOP, pakai topeng muka

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan Covid-19. - Foto Bernama
Orang ramai dinasihatkan sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan cecair pembasmi kuman dan memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu rakyat Malaysia supaya kekal patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memakai topeng muka ketika berada di luar rumah.

Walaupun pemakaian topeng muka tidak diwajibkan, beliau berkata tindakan itu sangat digalakkan.

"Memakai topeng muka sangat digalakkan terutama ketika berada dalam kalangan ramai orang," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Menurutnya, selain penggunaan topeng muka, penjarakan sosial juga perlu diamalkan.

"Kalau boleh amalkan, kita boleh elak daripada jangkitan Covid-19.

"Saya harap rakyat patuh kepada SOP dan amalkan kebersihan yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai segelintir rakyat yang tidak memakai topeng muka ketika berada di luar dengan memberi pelbagai alasan antaranya rimas dan tidak selesa.

Mengulas lanjut mengenai kes positif Covid-19 tanpa gejala, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan ujian saringan terhadap 5,164 pesakit sedia ada melibatkan mereka yang datang untuk pembedahan kecemasan dan separa kecemasan tanpa sebarang tanda gejala, sejarah perjalanan serta kontak dengan kes positif.

Artikel Berkaitan:

"Ujian itu mendapati hanya lima kes sahaja yang didapati positif bersamaan 0.1 peratus," katanya.

Menurutnya, ujian sama telah dilakukan di Selangor melibatkan 5,433 pesakit.

"Daripada jumlah itu, hanya 10 positif yang manakala lapan lagi tidak bergejala dan dua menunjukkan simptom jangkitan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, ada kes positif Covid-19 yang tidak tetapi jumlahnya masih kecil.

"Kes tidak bergejala disebabkan jumlah kuantiti virus masih berkurangan dalam badan. Orang awam yang mempunyai gejala pula disaran hadir ke klinik untuk membuat saringan," katanya.