Jin Wei perlu 30 minit sahaja

Pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei beraksi menentang Zhang Yiman dari China pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini.
Jin Wei menang dengan keputusan 21-13, 21-10. - Foto Bernama
A
A

AKSI pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei semakin meyakinkan apabila mudah mara ke suku akhir Perodua Malaysia Masters 2019.

Jaguh remaja dunia itu hanya mengambil masa 30 minit menundukkan Zhang Yiman dari China, 21-13, 21-10 pada perlawanan pusingan kedua di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur, hari ini.

Jin Wei berkata kemenangan ke atas idolanya yang juga pilihan ketiga kejohanan dari Jepun, Akane Yamaguchi pada perlawanan semalam, menambah keyakinannya untuk menewaskan pemain lawan hari ini.

“Saya main sama seperti semalam, mungkin lebih bersabar dan tidak gopoh membuatkan saya cepat mendapat mata. Saya tidak suka memberi tekanan kepada diri sendiri dengan meletakkan sasaran terlalu tinggi.

“Setiap perlawanan saya akan bermain habis-habisan tanpa memikirkan siapa pun lawan” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Menantinya esok adalah pemain pilihan kelima He Bingjiao dari China.

Dalam pada itu, Jin Wei menarik perhatian wartawan apabila pemain itu sering dilihat memakai jersi yang sama, keluaran pada edisi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Jin Wei mengakui akan memakai jersi berwarna hitam itu ketika menjalani latihan dan juga semasa menyertai kejohanan.

Pemain berusia 19 tahun itu menyifatkan jersi tersebut memberi tuah kepadanya dan beliau tiada masalah untuk memakainya berulang kali walaupun setiap tahun pemain akan menerima set jersi baharu.

“Saya selesa dengan jersi ini, kualitinya bagus...Ya, jersi ini juga memberi tuah sejak saya pakai pada Sukan SEA Kuala Lumpur lalu.

“Warna jersi ini hitam dan bila memakainya saya akan kelihatan lebih kurus. Kalau warna lain saya kelihatan berisi. Saya percaya jersi ini akan memberi tuah kepada saya,” katanya.- Bernama