Jadikan al-Quran teman, bukan perhiasan

Muhammad Nasir (dua dari kiri) menyerahkan senaskhah al-Quran kepada Roslee (dua dari kanan) sebagai simbolik penyerahan al-Quran wakaf buat petugas PDRM.
Muhammad Nasir (dua dari kiri) menyerahkan senaskhah al-Quran kepada Roslee (dua dari kanan) sebagai simbolik penyerahan al-Quran wakaf buat petugas PDRM.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berharap semua anggota pasukan itu yang beragama Islam dapat menjadikan al-Quran sebagai teman harian mereka, bukan sekadar perhiasan semata-mata.

Menurut Roslee, kitab suci umat Islam itu harus dibaca bersama terjemahannya setiap kali selesai menunaikan kewajipan solat lima waktu atau sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi mendapat ganjaran dan manfaat.

“Harapan saya al-Quran ini biarlah jadi teman dan amalan mereka tiap kali solat atau sekurang-kurangnya setiap hari Jumaat, semoga ia memberi manfaat dan bukan sebagai perhiasan.

“Al-Quran ini juga hendaklah dibaca selalu, kalau boleh selesai selesai solat fardu bacalah sekurang-kurangnya satu muka surat bersama terjemahannya, barulah kita memahami isi kandungan al-Quran,” katanya.

Muhammad Nasir (kanan) menerangkan al-Quran yang diterbitkan syarikat Kumpulan Karangkraf.
Muhammad Nasir (kanan) menerangkan al-Quran yang diterbitkan syarikat Kumpulan Karangkraf.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menerima 1,500 naskhah al-Quran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Penyerahan al-Quran wakaf hasil sumbangan orang ramai itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Roslee berkata, al-Quran tersebut akan diagihkan kepada pegawai dan anggota polis di negeri ini selain turut ditempatkan di surau balai polis sebagai kemudahan mereka membaca kitab suci berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sumbangan ikhlas menjadikan al-Quran sebagai wakaf, semoga ALLAH SWT memberikan ganjaran sewajarnya di akhirat nanti,” katanya.

Muhammad Nasir (tengah) bersama Roslee dan jemputan menunjukkan plakad projek wakaf al-Quran dan #QuranConer.
Muhammad Nasir (tengah) bersama Roslee dan jemputan menunjukkan plakad projek wakaf al-Quran dan #QuranConer.

Sementara itu, Muhammad Nasir mengalu-alukan orang ramai menyertai projek wakaf al Quran yang turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV AlHijrah, Sinar dan Ideaktiv.

Menurut beliau, sasaran agihan adalah kepada hospital-hospital, pejabat polis dan lain-lain lokasi terpilih di seluruh negara.

“Agihan al-Quran wakaf sumbangan orang ramai ini akan mengaktifkan #QuranCorner atau mengisi Troli Ibadah di lokasi terpilih di seluruh negara dan boleh dimanfaatkan semasa penganjuran program World #QuranHour yang akan diadakan pada 20 Ramadan bersamaan 13 Mei nanti.

“Al-Quran terjemahan terbitan Karya Bestari jenis Multazam Bil Hadis atau Al-Haramain ini dibuka untuk tujuan wakaf tersebut dengan harga RM40 senaskhah.

“Semalam, kita sudah agih 1,500 naskhah al-Quran wakaf kepada IPK Kelantan dan hari ini dua lagi IPK iaitu Terengganu dan Pahang juga menerima 1,500 al-Quran. Projek wakaf ini masih berjalan jika ada yang mahu berwakaf,” katanya.

Wakaf al-Quran untuk Ummah ini boleh dibuat melalui bayaran ke akaun Maybank 5642 7651 6031 atas nama Warisan Ummah Ikhlas Foundation.