Hari pertama PKPB, peniaga 'tunggu' pelanggan

Tukang jahit, Zalina Harun, 53, tekun menjahit baju raya yang ditempah pelanggan apabila kedainya mula beroperasi hari ini susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Sultan Zainal Abidin hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. - Foto Bernama
Tukang jahit, Zalina Harun, 53, tekun menjahit baju raya yang ditempah pelanggan apabila kedainya mula beroperasi hari ini susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Sultan Zainal Abidin hari ini. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan PKPB dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Terengganu menyaksikan kalangan peniaga “menunggu” pelanggan selepas hampir sebulan setengah tidak beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lepas.

Peniaga pakaian di Pasar Payang di sini, Nurliza Yusof, 45, berkata, dia yang membuka kedainya pada 8.30 pagi tadi tidak menaruh harapan tinggi akan menerima ramai pengunjung pada peringkat awal PKPB.

"Ini hari pertama PKPB, jadi orang ramai masih berhati-hati dan lebih selesa berada di rumah. Cuma yang saya runsing bagaimana nak pusing modal dengan cepat sebab saya beli stok kain lebih RM20,000 pada 17 Mac lepas untuk jualan musim cuti sekolah dan esoknya kerajaan umumkan penguatkuasaan PKP," katanya ketika ditemui Bernama.

Seorang lagi peniaga pakaian, Mohd Nasir Abdul Kadir, 60, juga beranggapan orang ramai masih mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum keluar membeli-belah barangan untuk persiapan Aidilfitri.

"Biasanya, jualan memang meningkat menjelang Aidilfitri kerana ramai membeli batik, kain pelikat atau kain ela yang kebiasaannya dijadikan 'buah tangan' ketika berkunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai.

"Tapi, kita pun faham kebimbangan orang ramai yang masih belum berani untuk keluar seperti biasa berikutan wabak COVID-19 ini, jadi saya akan buka kedai seperti biasa dan berharap semuanya pulih secepat mungkin," katanya.

Selain itu, tinjauan Bernama di tiga kawasan rekreasi iaitu di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus; Taman Rekreasi Padang Hiliran dan Taman Rekreasi Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu mendapati tidak ramai yang mengambil kesempatan melakukan aktiviti riadah walaupun telah diberi kelonggaran.

Hanya kelihatan beberapa individu yang berjoging secara bersendirian di sekitar kawasan berkenaan dengan mematuhi jarak sosial dan memakai penutup hidung dan mulut.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Kelab Riadah dan Rekreasi Taman Awam Batu Buruk, Datuk Hashim Mamat yang ditemui ketika sedang berjoging berkata orang ramai perlu mematuhi garis panduan ditetapkan supaya kelonggaran yang diberi kerajaan itu tidak membawa mudarat hingga akhirnya membahayakan kesihatan diri sendiri serta orang lain.

Bagi Pengurus Operasi dan Pengurusan Korporat KTCC Mall, Tengku Nurosmar Shah Tengku Abdullah pula, hari pertama PKPB ini memberi peluang kepada pemilik premis untuk melakukan persediaan seperti menyediakan garisan satu meter untuk pengunjung dan barangan lain seperti cecair pembasmi kuman untuk membersihkan tangan.

"Selain itu, kami juga akan melakukan pemeriksaan suhu badan pengunjung sebelum membenarkan mereka masuk dan hanya mereka yang memakai penutup mulut dan hidung sahaja dibenarkan masuk ke KTCC Mall," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ketika dihubungi berkata pelaksanaan PKPB dapat membantu menggerakkan semula ekonomi negeri dan negara.

Beliau mengingatkan peniaga termasuk peniaga kedai makan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti merekodkan nama dan nombor telefon setiap pelanggan yang masuk ke kedai, mengamalkan jarak sosial dan menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan.

“Saya berharap peniaga di Terengganu khususnya, ambil peluang kelonggaran diberikan kerajaan ini tetapi dengan pematuhan SOP. Ini adalah normal baharu semasa PKP dan mungkin ini berterusan hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.-Bernama