Laporkan jika berlaku pelanggaran SOP PKPB

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menggalakkan orang ramai melaporkan sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kepada pihak berwajib.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut boleh dibuat di balai polis terdekat, pihak berkuasa tempatan (PBT), talian hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau pusat panggilan setempat MyGCC.

"Jika tuan-tuan nampak dengan jelas pihak yang ingkar dengan pematuhan SOP ini, ambil gambar jelas atau lebih baik video sebagai bukti untuk dilaporkan.

"Boleh laporkan kepada balai polis terdekat, PBT, talian hotline MKN iaitu 88882010 atau melalui MyGCC 80008000 yang beroperasi 24 jam," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyurat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perutusan Khas Perdana Menteri sempena Hari Pekerja memaklumkan hampir semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati menjelang pelaksanaan PKPB yang bermula hari ini.

Beliau berkata, kebenaran itu tertakluk kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

Jelasnya, aktiviti-aktiviti sukan yang melibatkan perhimpunan ramai, sentuhan badan dan lain-lain risiko jangkitan turut tidak dibenarkan setakat ini.

Ia termasuk sukan bola sepak, ragbi, renang dan semua acara sukan indoor dan stadium.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, aktiviti sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan dan perhimpunan ramai dibenarkan.