Premis perniagaan di Masjid India mula beroperasi

Keadaan di sekitar bangunan Malayan Mansion.
Keadaan di sekitar bangunan Malayan Mansion.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa premis perniagaan di kawasan Masjid India di sini yang sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini telah dibuka kepada umum.

Tinjauan Sinar Harian pada jam 2 petang mendapati para peniaga premis perniagaan didapati sibuk membersihkan kedai selain memasang pita pelekat di lantai bagi memastikan penjarakkan sosial satu meter kepada pelanggan.

Peniaga kedai runcit, Sajahan Wahab berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak berkuasa untuk membuka semula perniagaannya esok.

"Kedai saya dah tutup lebih sebulan, kini saya sedang dalam proses pembersihan kedai untuk mulakan operasi perniagaan esok. Saya juga akan mengarahkan pelanggan untuk memakai topeng muka serta mengamalkan penjarakkan sosial ketika membeli barang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, pengurup wang asing, Zamri Abdul Halim, berkata, premisnya juga akan mula operasi esok dengan mengutamakan penjarakkan sosial dan menjaga kebersihan.

"Hari ini kami memasang pita pelekat dalam jarak satu meter untuk persediaan, kita juga mahu memastikan hanya dua orang pelanggan dalam premis pada satu-satu masa.

"Pelanggan lain diminta beratur dengan jarak yang sudah ditetapkan berdasarkan pemasangan pelekat biru di lantai," katanya.

Tinjauan juga mendapati kawat duri yang dipasang di hadapan dua bangunan iaitu Selangor dan Malayan Mansion yang dikenakan PKPD sejak 7 April lalu juga telah dibuka.

Artikel Berkaitan:

Penghuni di dua bangunan berkenaan turut mengambil kesempatan membeli barang keperluan di kedai-kedai di bahagian bawah kediaman mereka serta premis sekitar Masjid India.

Semua laluan masuk ke Masjid India terutama melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi juga boleh digunakan seperti biasa.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah menubuhkan pasukan pemantau yang akan melakukan pemantauan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pasukan pemantau ini akan memberi nasihat, teguran dan amaran kepada orang ramai di kawasan berkenaan (Masjid India) untuk memastikan mereka tidak berkumpul dan sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial.

"Kita akan pastikan perkara ini secara serius bagi mengekang penyebaran dan penularan koronavirus (Covid-19," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.