Dia penat berulang alik, ibu mertua harap Nur Farhana dapat tukar sekolah

A
A

ALOR SETAR- “Syukur, Alhamdulillah dah jumpa dia”. Itulah ungkapan gembira yang mampu diluahkan ibu mertua Nur Farhana Ibrahim, selepas dimaklumkan bahawa menantunya itu ditemui selamat hari ini.

Raziyah Dali, 64, berkata sejak berita kehilangan Nur Farhana, 27, dia tidak pernah berhenti berdoa dan menunaikan solat hajat supaya menantunya itu dapat ditemukan selamat dengan segera.

"Syukur dia dah dijumpai dalam keadaan selamat tapi mak cik tertanya-tanya ke mana dia pergi... tetapi buat masa ini biarlah dia berehat dahulu," katanya kepada pemberita sebaik diberitahu bahawa menantunya itu telah dijumpai.

Raziyah, yang ditemui di rumahnya di Langgar di sini, berkata, dia sedia maklum mengenai tekanan yang dihadapi Nur Farhana yang tinggal bersamanya kerana sebelum ini pernah beberapa kali menyatakan bahawa dia penat berulang-alik setiap hari ke Balik Pulau untuk mengajar di sekolah di sana.

"Masa awal mengajar di sana, dia bawa anaknya Siti Zulaika Muhammad Naim, 3, untuk tinggal bersama selama setahun tetapi atas beberapa faktor, dia mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal semula di sini dan sejak itu dia terpaksa berulang-alik.

"Dia keluar dari rumah pukul 5.40 pagi dan perlu tiba di sekolah pada pukul 7.30 pagi dan hanya sampai di rumah pada pukul 5.30 petang. Walaupun dia selalu cakap penat tetapi dia tidak pernah hilang macam ini sehingga seluruh keluarga bimbang," katanya.

Raziyah berkata menantunya itu juga telah menghantar pemohonan untuk berpindah sekolah tetapi masih belum mendapat peluang untuk bertukar dan berharap kali ini pihak berkaitan dapat mempertimbangkan pemohonan menantunya itu.

"Saya harap dia dapat ditukarkan kerana bimbang perkara seperti ini akan berulang lagi. Tambahan pula dia mempunyai surat kukuh bahawa dia pernah menerima rawatan kemurungan pada tahun 2014," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Genting, di Balik Pulau dikhuatiri hilang selepas tidak hadir mengajar dan kehilangannya disedari suaminya setelah tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Alor Setar pada petang Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan hari ini memaklumkan Nur Farhana telah ditemui selamat kira-kira pukul 4 petang tadi, bagaimanapun lokasi penemuannya tidak dapat didedahkan. - Bernama

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Dia tak ingat apa berlaku, tapi ada bermalam di surau']

[ARTIKEL BERKAITAN: Di mana cikgu Nur Farhana?]