17 kawasan di Bandar Bukit Puchong alami gangguan bekalan air

17 kawasan di Bandar Bukit Puchong mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan kejadian paip pecah. - Foto 123RF
17 kawasan di Bandar Bukit Puchong mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan kejadian paip pecah. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 kawasan di Bandar Bukit Puchong di wilayah Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan kejadian paip pecah di pintu masuk Apartment Baiduri Court, Bandar Bukit Puchong 2, semalam.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, kerja pembaikan paip pecah tersebut tidak dapat disiapkan seperti dijadualkan pada jam 10 malam tadi.

Menurutnya, ia berikutan kedalaman paip pecah melebihi lapan meter di dalam tanah yang memerlukan kerja pengukuhan ruang pembaikan dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja pembaikan paip pecah dapat dilakukan.

"Bagaimanapun, kerja-kerja korekan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat pada waktu siang hingga menyebabkan kerja-kerja pembaikan lambat disiapkan.

"Insiden paip pecah ini pada awalnya telah menyebabkan gangguan bekalan air di 40 kawasan seperti dimaklumkan di aplikasi Air Selangor pagi semalam namun dapat dikurangkan kepada 17 kawasan setelah penyaluran bekalan air alternatif berjaya dilakukan dari sumber lain.

Menurutnya, kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air termasuk Bandar Bukit Puchong 1 hingga Bandar Bukit Puchong 9 di wilayah Petaling dan Bandar Bukit Puchong 10 hingga Bandar Bukit Puchong 17 di wilayah Sepang.

Katanya, Air Selangor menjangkakan pemulihan sepenuhnya bekalan air di kawasan terjejas pada jam 6 petang ini.

"Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki di Bandar Bukit Puchong bagi membantu pengguna terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Status terkini akan disalurkan kepada pengguna dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com," katanya.