Susun program ibadah dari sahur hingga tengah malam

Anak sulung Mohd Khairul Azman iaitu Ahmad Al Fateh, 16 (kanan) bersama nenek, datuk serta keluarga sebelah arwah ibunya bertadarus buat kali kedua selepas selesai solat Zuhur pada setiap hari.
Anak sulung Mohd Khairul Azman iaitu Ahmad Al Fateh, 16 (kanan) bersama nenek, datuk serta keluarga sebelah arwah ibunya bertadarus buat kali kedua selepas selesai solat Zuhur pada setiap hari.
A
A
A

SHAH ALAM - Ramadan kali ini amat berbeza buat pendakwah Ustaz Mohd Khairul Azman atau MK Azman, 42, kerana beliau bukan saja perlu menjalani ibadah puasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi juga tanpa kehadiran isteri tersayang yang telah kembali ke rahmatullah pada 5 April lalu.

Bagaimanapun, Mohd Khairul Azman berkata, ia tidak menghalang beliau serta tiga anaknya untuk meraikan kedatangan Ramadan kali ini seperti tahun-tahun sebelumnya.

Beliau akan memastikan sepanjang Ramadan kali ini setiap waktu anak-anaknya dimanfaatkan dengan pelbagai program ibadah bermula dari waktu sahur sehingga tengah malam.

Menurutnya, sebelum sahur, beliau, keluarga mertua dan anak-anak akan bersolat tahajud, bersahur disusuli solat Subuh, berwirid serta tadarus al-Quran satu juzuk termasuk solat duha.

“Kemudian kami berehat seketika dan masa itu digunakan untuk menyelesaikan urusan harian selain membaca, bercucuk tanam dan sebagainya.

“Saya juga akan mengarahkan anak-anak untuk tidur sekejap sebelum Zuhur atau qailullah. Jika mereka terlepas saya arahkan tidur selepas solat Zuhur tetapi tidak boleh sehingga petang.

“Ini amat penting supaya mereka bertenaga untuk bangun bertahajud pada tengah malam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairul Azman (kiri) bersama anak- anak dan ahli keluarga akan bertadarus satu juzuk selepas solat Subuh pada setiap hari.
Mohd Khairul Azman (kiri) bersama anak- anak dan ahli keluarga akan bertadarus satu juzuk selepas solat Subuh pada setiap hari.

Tambahnya, selepas solat Zuhur, beliau serta ahli keluarga akan bertadarus sekali lagi untuk juzuk yang kedua kerana menyasarkan untuk khatam al-Quran sebanyak dua kali pada Ramadan kali ini.

Program itu akan disusuli tazkirah sebelum mereka berehat untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

“Saya akan gunakan waktu ini untuk ke pusara arwah isteri, Ustazah Shadiya Abbas untuk bacakan tahlil dengan berzikir, baca al-Quran sebagai hadiah pahala untuknya.

“Selepas solat Asar, kami sekeluarga akan berzikir, rehat dan kemudian ambil masa setengah jam sebelum berbuka dan berselawat ke atas Rasulullah.

Mohd Khairul Azman (tengah) bersama anak sulungnya, Ahmad Al-Fateh, 16, membaca al-Quran. Turut kelihatan anak bongsunya, Hana Soffya Al-Kheir, 4.
Mohd Khairul Azman (tengah) bersama anak sulungnya, Ahmad Al-Fateh, 16, membaca al-Quran. Turut kelihatan anak bongsunya, Hana Soffya Al-Kheir, 4.

“Masuk waktu berbuka, kami makan kurma dan terus solat Maghrib. Selepas itu baru jamah makanan berat dan sambung ibadah tarawih bersama,” katanya.

Mohd Khairul Azman berkata, rutin ibadah sepanjang Ramadan kali ini memang padat tapi ia merupakan cara untuk menghilangkan rasa rindu anak-anak kepada arwah ibu mereka yang meninggal dunia akibat asma di Hospital Sungai Buloh pada 5 April lalu.

Katanya lagi, itu juga adalah cara untuk merawat dan menguatkan kembali jiwa bagi meneruskan kehidupan dengan penuh keredaan ALLAH SWT.