X

Kindly register in order to view this article
!

Kane mampu cetus impak

Kane antara penyerang prolifik England ketika ini.
A
A

Pengurusan Manchester United digesa melakukan bidaan terhadap penyerang yang juga kapten Tottenham Hotspur, Harry Kane bagi mengatasi ketumpulan jentera serangan The Red Devils.

Bekas pengendali United, Ron Atkinson berkata, pembelian Kane secara tidak langsung mampu mengurangkan kebergantungan terhadap Marcus Rashford dan Anthony Martial.

Menurut Atkinson yang menerajui United dari 1981 hingga 1986, dengan status Kane sebagai penyerang berpengalaman, ia sudah pasti dapat memotivasikan barisan pemain muda.

“Mungkin bagi saingan musim ini agak terlewat untuk melihat impak Kane, namun saya melihat Kane merupakan satu keperluan kepada Manchester United untuk mencabar kejuaraan musim depan.

“Manchester United sudah cukup lengkap di posisi lain yang sedang dibentuk Ole Gunnar Solskjear kecuali bahagian serangan yang memerlukan penyerang berkualiti.

“Manchester United tidak lagi memiliki penyerang seperti Ruud van Nistelrooy atau Robin van Persie yang garang serta tajam di depan gol. Jadi mereka harus memberi tumpuan kepada Kane,” katanya.

Media di England sebelum ini melaporkan Spurs bersetuju untuk melepaskan Kane dengan yuran perpindahan sebanyak 200 juta pound (RM1.07 bilion) jika dia ingin berpindah ke Old Trafford, namun kemudiannya dinafikan pengerusi The Lilywhites, Daniel Levy.

Atkinson memberitahu, biarpun musim ini The Red Devils boleh meletakkan harapan kepada ketajaman Martial dalam mengemudi bahagian serangan tetapi kelab itu masih memerlukan lebih daripada itu.

“Ya, Manchester United memang mempunyai Martial, namun itu masih kurang. Jika Manchester United mendapatkan Kane atau penyerang berkualiti lain, maka boleh saya katakan bahawa mereka sudah bersedia menyaingi Manchester City dan Liverpool,” jelasnya.

Sebagai rekod, Kane yang menandatangani lanjutan kontrak selama enam tahun pada 2018 telah menjaringkan 181 gol buat Spurs dalam semua pertandingan dengan purata 30 gol dalam satu musim sejak 2014.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!