Parti liar: Bukan lagi kelab malam, kini di kondominium

A
A

KUALA LUMPUR - Penganjur parti liar dan dadah dikesan telah beralih arah dari menganjurkannya di pusat hiburan ke kondominium mewah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mereka telah mengubah tempat berikutan tindakan agresif polis yang melakukan pemeriksaan dan serbuan secara berkala di pusat-pusat hiburan Kuala Lumpur.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu polis.

"Bagaimanapun, hasil maklumat awam dan risikan polis, kegiatan itu tetap berjaya dikesan," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, penganjuran parti liar di kondominium dilihat memberi ruang kepada kanak-kanak untuk terlibat sama.

"Dalam operasi tahun lepas, polis ada menahan kanak-kanak berusia 12 tahun, 15 tahun dan 16 tahun.

"Dan kegiatan parti liar ini kebanyakannya akan diiklankan di aplikasi WeChat," katanya.

Mazlan memberitahu, sepanjang tahun lepas, polis telah melakukan sebanyak 21 kali serbuan ke atas pelbagai kondominum mewah.

"Daripada jumlah itu, 424 orang telah diperiksa dan 325 daripadanya telah ditangkap manakala 252 didapati positif dadah.

"Kawasan yang kerap kita lakukan serbuan ialah di kawasan Dang Wangi iaitu 16 kali memandangkan kawasan ini terdapat banyak kondominium mewah.

"Diikuti Brickfields tiga kali dan Wangsa Maju dua kali.

"Dalam serbuan itu, kita juga ada menemui pelbagai jenis dadah antaranya ganja, syabu, ecstasy , eramin 5 dan air ketum.

"Nilai keseluruhannya berjumlah RM68,942," katanya.

Dalam pada itu Mazlan juga memberitahu, sepanjang tahun lalu dalam Ops Hiburan berkait dadah, polis telah melakukan sebanyak 174 kali serbuan di pusat-pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.

"Dalam operasi itu, polis telah memeriksa 7,592 orang dan 1,008 telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Daripada jumlah itu, polis telah membuka sebanyak 1,629 kertas siasatan.

"Dalam operasi pusat hiburan ini polis memfokuskan kepada enam aspek iaitu remaja bawah umur, dadah, pelayan wanita, unsur gangsterisme, unsur perjudian dan lesen operasi," katanya.