Ujian saringan Covid-19 di pusat jagaan warga emas

Ujian saringan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu akan dibuat secara berfasa.
Ujian saringan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) itu akan dibuat secara berfasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian saringan koronavirus (Covid-19) kepada pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas memandangkan golongan itu berisiko terhadap jangkitan wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan berkenaan akan dijalankan secara berfasa, dimulakan dengan 17 buah Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya, saringan juga akan dilakukan di 357 buah pusat jagaan yang berdaftar mengikut Akta 506 dan 26 buah 'nursing homes' yang berdaftar di bawah Akta 586.

"KKM dimaklumkam bahawa masih terdapat hampir atau lebih 1,000 buah pusat jagaan warga emas swasta yang tidak berdaftar di bawah mana- mana Akta.

"Maka kita akan mengarahkan pihak Pejabat Kesihatan Daerah untuk mengenal pasti pusat jagaan warga emas swasta termasuk institusi pondok agama di daerah masing-masing bagi memastikan liputan saringan Covid-19 adalah menyeluruh," katanya pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, pengusaha pusat jagaan swasta digalakkan berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah terdekat dan KKM akan terus memantau kejadian jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut menasihatkan rakyat Malaysia dinasihatkan untuk kekal duduk di rumah dan keluar rumah untuk urusan-urusan yang perlu sahaja.

"Kita perlu teruskan amalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dengan air dan sabun dan amalkan jarak sosial yang selamat dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: