PH tak beri duit macam BN buat, kata Anwar

No Image Caption
A
A
A

TANAH RATA- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan PH tidak menggunakan pendekatan politik wang ketika berkempen sebagaimana BN bagi mendapatkan sokongan.

Ketika berucap di hadapan kira-kira 200 anggota komuniti Orang Asli Pos Betau dekat sini, Anwar berkata pengundi Parlimen Cameron Highlands harus percaya dan yakin bahawa kerajaan baharu akan menyalurkan peruntukan sebaik sahaja calonnya diberi mandat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

“Saya ucap terima kasih kepada anda semua kerana sanggup bersusah payah datang. Saya hanya boleh beri jaminan, kita berkempen tidak macam BN, asal dekat pilihan raya bagi duit, bagi duit dan itu ini selepas itu hilang selama lima tahun.

“Saya masa berkempen Ahli Parlimen Port Dickson dua bulan lalu tak bagi (duit). Sebaik menang, menteri turun, projek turun, masjid surau, tokong, termasuk (di) kampung Orang Asli kita bagi perhatian,” katanya.

Turut hadir Pengerusi PKR Pahang Fuziah Salleh, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ahli Dewan Negara Bob Manolan Mohamad dan calon PH M. Manogaran.

Anwar kemudiannya mengadakan sesi dialog tertutup kira-kira 15 minit bersama ketua-ketua kampung atau Tok Batin Orang Asli sebelum meneruskan jadualnya bertemu komuniti Orang Asli di Pos Sinderut serta mengadakan ceramah perdana di Sungai Koyan pada sebelah malamnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pengundi Orang Asli Pos Betau agar memberi kepercayaan kepada Manogaran untuk pihaknya melakukan perubahan.

“Berapa lama dah kerajaan BN memerintah, tengok cara hidup Orang Asli, saya tak kata tiada perubahan langsung tapi sedikit sekali perubahan yang mereka lakukan.

Artikel Berkaitan:

"Tanggungjawab kita, kita tidak mahu lagi mana-mana masyarakat terpencil.

“Sebab itu saya minta kawan-kawan kali ini kita kalahkan BN dan sokong PH dan saya yakin dia (Manogaran) akan bercakap (masalah) bagi pihak semua rakyat,” katanya.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan calon PH, BN Ramli Mohd Bor serta dua calon bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, dan petani, Wong Seng Yee, 40 tahun.

PRK berkenaan diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lepas mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam PRU14 bagi Parlimen itu, terbatal dan tidak sah.- Bernama