Perkhidmatan DBKL beroperasi esok

DBKL
DBKL
A
A
A

KUALA LUMPUR – Semua pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kaunter pembayaran kecuali di pejabat cawangan akan kembali beroperasi bagi memberi perkhidmatan kepada warga kota bermula esok.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, sebagai langkah kawalan dan keselamatan, beberapa perkhidmatan melibatkan orang awam akan dilaksanakan secara terkawal dengan mengikut garis panduan kesihatan dan keselamatan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara perkhidmatan yang dibuka mulai esok termasuk di Menara DBKL 1 (7.30 pagi-4 petang); kaunter pandu lalu (8.30 pagi-4 petang); Menara DBKL 2 (8.30 pagi-4 petang); Menara DBKL 3 (dibuka mulai 5 Mei hingga 12 Mei); kaunter pelesenan Menara 2 (dibuka bermula 6 Mei melalui kaedah temu janji) dan kaunter OSC Menara DBKL 2 (8.30 pagi-3 petang).

Kenyataan itu memaklumkan perkhidmatan suntikan meningitis pula akan bermula pada hari Selasa (5Mei) dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang.

“Pentadbiran DBKL memutuskan supaya pegawai dan kakitangannya kembali bertugas pada 4 Mei (esok).

“Orang awam yang datang berurusan dengan pihak DBKL dinasihatkan untuk mematuhi dan mengamalkan penjarakan sosial, penggunaan topeng muka dan pensanitasi tangan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, mereka yang gagal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Dalam pada itu DBKL memaklumkan Dataran Merdeka, dewan serbaguna, dewan komuniti dan kompleks sukan di bawah seliaan DBKL masih ditutup bagi sebarang tempahan sehingga maklumat lanjut dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

DBKL turut memaklumkan taman awam hanya dibuka bagi aktiviti joging secara bersendirian, kemudahan di taman awam seperti taman permainan kanak-kanak, alat senam, gelanggang sukan, padang bola, kolam mandi termasuk tempahan tapak rekreasi serta dewan masih ditutup.

Kenyataan itu memaklumkan Perpustakaan Kuala Lumpur, cawangan dan perpustakaan bergerak di bawah pentadbiran DBKL juga masih ditutup kepada orang awam.

“Sebarang aduan atau pertanyaan boleh dibuat menerusi emel ke alamat callcentre@dbkl.gov.my atau talian 0326179000 (Menara 1); 0320282000 (Menara 2); 0326176000 (Menara 3); 0340244424 (bilik gerakan); atau WhatsApp ke talian 0136806666/0136887777 (Pertiwi Whatsapp Helpline),” katanya.