BAM hantar permohonan rasmi kepada MKN

NORZA
NORZA
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) telah menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), baru-baru ini bagi membolehkan skuad elit negara kembali menyambung sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara secepat mungkin.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, sesi latihan berkenaan adalah bagi memantapkan persediaan skuad kebangsaan dalam menghadapi beberapa kejohanan penting pada tahun ini termasuk pusingan akhir Piala Uber/Thomas di Aarhus, Denmark pada Oktober ini.

“Setiap permohonan oleh persatuan sukan kebangsaan perlu menerusi KBS dan segala keputusan (sama ada diluluskan atau tidak) bergantung kepada saranan dan nasihat MKN dan juga Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kalau mereka (MKN dan KKM) dapat pertimbangkan permohonan kita untuk menjalani latihan selewat-lewatnya Jun ini, itu adalah cukup baik bagi saya kerana atlet kita perlu menghadapi beberapa kejohanan bagi mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, selain pusingan akhir Piala Thomas/Uber,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata, sebanyak tujuh persatuan sukan kebangsaan (NSA) sudah memohon Dana Khas MOM yang bermatlamat bagi membantu NSA yang terjejas susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, persatuan sukan kebangsaan masih boleh mengemukakan permohonan rasmi kepada MOM sebelum tarikh tutup, Selasa ini.

“Selepas itu, jawatankuasa khas mengenai dana berkenaan yang dipengerusikan oleh saya sendiri, Timbalan saya (Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi), serta beberapa ahli bebas dan seorang pemegang amanah akan bersidang pada 8 Mei ini bagi menentukan persatuan yang layak menerima bantuan tersebut,” katanya.

MOM sebelum ini mengumumkan dana sebanyak RM300,000 yang dikeluarkan daripada Tabung Amanah mereka untuk membantu persatuan sukan kebangsaan yang terjejas susulan penularan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: