Pulau Pinang laksana PKPB 8 Mei ini

 Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan melaksanakan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedia ada akan tetap berkuat kuasa seperti biasa esok sehingga 12 Mei ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan dibuat berdasarkan ketetapan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri pagi tadi berpandukan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, hanya pihak yang dibenarkan beroperasi dalam fasa satu, fasa dua dan fasa tiga boleh meneruskan operasi seperti biasa, sementara yang tidak tersenarai dalam tiga fasa itu boleh beroperasi Jumaat ini.

"Kerajaan negeri akan membuat pengumuman lanjut berhubung perkara ini.

"Sebanyak 25 sektor dibenarkan beroperasi bermula 8 Mei ini antaranya pengangkutan (udara dan darat), kewangan, guaman, kewangan (kredit komuniti dan pajak gadai), komunikasi, perhotelan, elektrik dan peruncitan.

"Ia termasuk sektor makanan namun hanya untuk pembungkusan makanan sahaja," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini tadi.

Jelasnya, kelonggaran PKP tidak boleh dilakukan secara mendadak dan tanpa dirancang kerana kesihatan serta keselamatan rakyat tetap menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Beliau berkata, tempoh 8 Mei adalah untuk membolehkan kerajaan negeri menyediakan garis panduan menyeluruh yang lebih tersusun khususnya dalam aspek penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh empat hari ini juga adalah bagi membolehkan pihak syarikat, majikan, pekerja, ibu bapa dan lain-lain merancang pengoperasian serta pergerakan masing-masing.

"Ini termasuk penyediaan kelengkapan seperti pensanitasi tangan, penjarakan sosial, peraturan pemakaian pelitup muka dan sebagainya demi keselamatan bersama di premis-premis seliaan," katanya

Kon Yeow berkata, strategi tersebut terbahagi kepada tiga fasa iaitu persiapan (4 hingga 7 Mei), pembiasaan (8 hingga 12 Mei) dan pembukaan (bermula 13 Mei).

"Dalam fasa persiapan ini, semua sektor digalakkan untuk merancang, menyediakan dan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan di tempat masing-masing.

"Semua aktiviti yang lain tidak dibenarkan kecuali dinyatakan dengan jelas dalam Jadual Strategi Pemulihan Berperingkat yang bakal diumumkan.

"Dalam fasa pembiasaan pula, sektor yang dibenarkan perlu melaksanakan SOP dengan tegas dan semua aktiviti yang lain tidak dibenarkan, kecuali dinyatakan dengan jelas dalam Jadual Strategi Pemulihan Berperingkat manakala fasa pembukaan pula, semua sektor dibenarkan untuk beroperasi tetapi perlu mematuhi SOP dengan tegas," katanya.

Jelasnya, sembilan sektor dibenarkan beroperasi bermula 13 Mei ini antaranya sukan, koperasi, industri kreatif, pengurusan hutang, rukun tetangga dan perpaduan.

"Dua sektor yang masih dalam pertimbangan dan tidak dibenarkan adalah pendidikan dan sektor penjagaan sosial (taska). Keputusan lanjut akan diumumkan kelak," katanya.