Selangor larang makan, minum di restoran

Selangor membenarkan pengusaha restoran, penjaja dan peniaga yang mempunyai premis beroperasi bermula esok namun terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery) dari jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja. - Foto 123RF
Selangor membenarkan pengusaha restoran, penjaja dan peniaga yang mempunyai premis beroperasi bermula esok namun terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery) dari jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak membenarkan orang ramai makan dan minum di premis makanan termasuk restoran, medan selera, gerai makan atau kios sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri membenarkan pengusaha restoran, penjaja dan peniaga yang mempunyai premis beroperasi bermula esok namun terhad kepada urusan bawa pulang (take away) dan penghantaran (delivery) dari jam 7 pagi hingga 10 malam sahaja.

Bagaimanapun menurutnya, peniaga yang tidak mempunyai premis termasuk penjaja tepi jalan dan trak saji (food truck) hanya dibenarkan untuk beroperasi selepas 12 Mei bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan peniaga mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan bagi mengamalkan penjarakkan sosial dan ‘contact tracing’.

Katanya, keputusan itu diambil selepas kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat Diubahsuai (PKPBD).

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa mesyuarat dan pertemuan sebelum dan selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Info grafik industri dan perniagaan yang dibenarkan dan dilarang beroperasi di Selangor mulai esok.
Info grafik industri dan perniagaan yang dibenarkan dan dilarang beroperasi di Selangor mulai esok.

“Pertemuan dan mesyuarat terbabit melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Bilik Gerakan Covid-19 Selangor, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) serta Datuk Bandar dan Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

“Perbincangan tertumpu kepada usaha menyediakan garis panduan bagi negeri ini terutamanya persediaan pembukaan sektor ekonomi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata, hasil mesyuarat tersebut, kerajaan negeri membuat keputusan untuk melaksanakan PKPB dengan pertambahan beberapa perincian.

"Antaranya, pasar malam, pasar pagi, jualan karnival, bazar Ramadan dan Aidilfitri masih tidak dibenarkan beroperasi sebagaimana ditetapkan kerajaan Persekutuan.

"Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam; pasar raya mini, kedai runcit dan kedai serbaneka (8 pagi-10 malam); taman komuniti (7 pagi-7 malam) dan Bas Smart Selangor akan mula beroperasi secara berperingkat mulai Rabu ini," katanya.

Menurutnya, industri pembinaan dibenarkan beroperasi pada kadar maksimum namun syarikat harus menyediakan Pelan Tindakan Keselamatan Kawalan Penularan Wabak Covid-19 untuk mendapat kelulusan PBT masing-masing terlebih dahulu.

“Bagi sektor sosial, orang awam dibenarkan untuk melakukan aktiviti senaman di kawasan lapang dan taman komuniti dengan mengamalkan penjarakkan sosial. Kegiatan di taman awam seperti Tasik Shah Alam, Taman Jaya dan Tasik Cempaka tidak dibenarkan.

“Semua kemudahan rekreasi dan sukan dalam kawasan berbumbung dan tertutup seperti kolam renang dan gimnasium masih ditutup. Aktiviti hiking seperti di Bukit Gasing juga tidak dibenarkan,” katanya.

Amirudin berkata, PBT akan mengeluarkan notis susulan senarai taman awam yang dilarang buat orang awam sewaktu PKPB.

“Keputusan ini terpakai di seluruh Selangor kecuali di zon merah iaitu Selayang Baru buat masa ini. Manakala bagi butiran lain adalah berdasarkan ketetapan dan garis panduan MKN yang telah dikeluarkan terdahulu. Semua sektor adalah ditegaskan untuk melaksanakan amalan penjagaan kesihatan yang baik seperti pemakaian topeng muka, amalan pencucian tangan yang kerap dan mengelakkan dari menyentuh muka.

“Kerajaan negeri turut memperkenalkan sistem pengesanan kontak (contact tracing) yang komprehensif bagi melengkapi usaha-usaha KKM dan akan diperkenalkan esok.

“Kerajaan negeri menyedari tanggungjawab untuk mengimbangi keperluan ekonomi dan kemaslahatan rakyat. Justeru, langkah bertahap yang dilaksanakan amat perlu sebagai sebahagian dari pendekatan 'soft landing' supaya kesan wabak Covid-19 ini dapat ditampan dengan lebih baik,” katanya.