'Syukur dapat balik kampung'

Amalan penjarakkan sosial diamalkan sebelum peajar dihantar pulang. Foto: IPG Kampus Datuk Razali Ismail
Amalan penjarakkan sosial diamalkan sebelum peajar dihantar pulang. Foto: IPG Kampus Datuk Razali Ismail
A
A
A

KUALA NERUS – "Alhamdulillah, lega apabila sudah selamat tiba di kampung dan berbuka puasa dengan keluarga, ia satu nikmat besar,” kata Mohamad Nizam Sajali, 23, dari Kampung Parit Sungai Dungun, Bagan Serai, Perak.

Mohamad Nizam merupakan salah seorang daripada 33 pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail yang terlibat dalam misi penghantaran pulang secara berperingkat mengikut zon telah ditetapkan.

Pelajar semester empat jurusan Bahasa Melayu itu berkata, sepanjang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kampus, beliau hanya berhubung dengan ibu bapanya melalui panggilan telefon bagi menghilangkan kebimbangan mereka.

“Saya tidak boleh buat panggilan video kerana talian di kampung sangat teruk. Mak dan ayah risau juga sebab kawan-kawan ramai sudah balik tapi bila tahu keadaan koronavirus (Covid-19) di Terengganu terkawal tidak capai zon merah, mereka lega.

“Syukur kerajaan benarkan kami pulang, dapatlah jalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung bersama keluarga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Antara pelajar yang terlibat dalam misi penghantaran pulang mengikut zon. Foto: IPG Kampus Datuk Razali Ismail
Antara pelajar yang terlibat dalam misi penghantaran pulang mengikut zon. Foto: IPG Kampus Datuk Razali Ismail

Sementara itu, Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Datuk Razali Ismail, Ahmad Akmal Haikal Ahmad Nizam berkata, semua pelajar di kampus itu dihantar pulang melalui tiga fasa pergerakan bermula Rabu lalu.

Menurutnya, fasa pertama melibatkan pelajar yang tinggal di zon timur dan utara, kedua di zon tengah dan selatan dan terakhir adalah zon Sabah dan Sarawak dengan diiringi seorang pegawai perhubungan (liason officer) daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, setiap pelajar, pegawai perhubungan, pemandu dan semua yang terlibat dalam misi ini akan menjalani saringan kesihatan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pusat kesihatan setempat sebelum pergerakan pelajar dilakukan.

“Pelajar terlibat diingatkan untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial, memakai topeng muka di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan menggunakan hand sanitizer.

“Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar ialah prioriti utama ketika pergerakan ini berlangsung,” katanya.