Disiplin, kawalan kendiri elemen utama bendung Covid-19

Pengurus Operasi dan Pengurusan Korporat KTCC Mall, Tengku Nurosmar Shah Tengku Abdullah (dua, kiri) melekatkan pita pelekat bagi tujuan penjarakan satu meter ketika tinjauan di KTCC Mall hari ini. - Foto Bernama
Pengurus Operasi dan Pengurusan Korporat KTCC Mall, Tengku Nurosmar Shah Tengku Abdullah (dua, kiri) melekatkan pita pelekat bagi tujuan penjarakan satu meter ketika tinjauan di KTCC Mall hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Disiplin rakyat dalam isu keselamatan dan kesihatan menjadi perkara paling besar untuk memastikan kawalan kendiri berada pada tahap optimum.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pakar perubatan berpandangan wabak koronavirus (Covid-19) masih akan berada di sekeliling rakyat Malaysia dalam tempoh dua tahun sehingga penemuan vaksin penawarnya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, tidak mungkin kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun sekiranya tempoh ancaman Covid-19 dijangka berlangsung selama dua tahun.

"Kalau kita rasa tidak perlu keluar dan takut ancaman Covid-19, maka kita tidak perlu keluar. Kita mesti buat keputusan sendiri untuk memastikan kita dan keluarga kita selamat.

"Saya ambil contoh Taiwan yang tidak melaksanakan PKP atau perintah berkurung tetapi mereka negara paling rendah kes kematian di dunia dengan hanya enam kes.

"Disiplin rakyat mereka menentukan bahawa mereka selamat daripada jangkitan Covid-19 kerana mereka sentiasa mengamalkan pembersihan tangan secara kerap, memakai topeng muka dan menjaga penjarakan sosial," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Orang ramai beratur dan mematuhi arahan dengan menjarakkan diri satu meter bagi mencegah penularan Covid-19 ketika membeli barangan basah di Pasar Borong Chow Kit, Kuala Lumpur semalam.
Orang ramai beratur dan mematuhi arahan dengan menjarakkan diri satu meter bagi mencegah penularan Covid-19 ketika membeli barangan basah di Pasar Borong Chow Kit, Kuala Lumpur semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri turut menegaskan sektor perniagaan yang dibenarkan operasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga masih boleh membuat pilihan sama ada membuka operasi perniagaan seperti biasa atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya pemilik perniagaan masih meragui isu keselamatan meskipun kebenaran berniaga diberikan dengan mengikuti prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan, mereka boleh meneruskan perkhidmatan secara dalam talian, belian bungkus dan sebagainya.

"Semalam kita lihat dalam media, ada pengusaha restoran mengatakan mereka tidak selesa untuk membuka perniagaan seperti biasa pada ketika ini, itu adalah pilihan kepada pemilik sektor perniagaan berkenaan.

"Walaupun banyak sektor perniagaan dibenarkan beroperasi, bukan bermakna setiap sektor mesti memulakan perniagaan dan mereka masih boleh membuat pilihan," katanya.