Hanya separuh penumpang dalam kenderaan awam

Tren Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) - Foto Bernama
Tren Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jumlah penumpang yang dibenarkan menaiki semua kenderaan awam yang akan beroperasi seperti biasa mulai esok adalah separuh daripada kapasiti sebenar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan amalan penjarakan sosial dipatuhi semua pihak.

Beliau berkata, sebagai contoh, jika kapasiti penumpang sebuah bas adalah 40 orang, jadi esok ia akan dihadkan kepada 20 penumpang sahaja.

"Begitu juga dengan kenderaan awam lain seperti MRT (Transit Aliran Massa) dan LRT (Transit Aliran Ringan), hanya separuh daripada setiap gerabak dibenarkan.

"Penjarakan sosial ini bukan sahaja dalam kenderaan awam tetapi juga di tempat-tempat menunggu seperti stesen bas, LRT, MRT dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Katanya, tindakan itu diambil susulan kakitangan awam, swasta dan lain-lain sektor akan kembali bertugas mulai esok dan perkara ini amat penting untuk dipatuhi pengguna serta pengendali perkhidmatan awam.

Pada sidang akhbar sama, beliau berharap pengguna dan semua pengendali perkhidmatan awam dapat mematuhi garis panduan yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh PKPB ini.

"Kita membenarkan semua pengangkutan awam beroperasi seperti biasa, bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke tempat kerja. Jadi pastikan penjarakan sosial dan amalan kebersihan dipraktikkan," katanya.

Artikel Berkaitan: