X

Kindly register in order to view this article
!

Haramkan jualan arak sepanjang PKP: Pemuda Pas Selangor

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melarang penjualan arak dan apa sahaja yang boleh memabukkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pemuda Pas Negeri Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, ia berikutan minuman atau produk memabukkan bukan termasuk dalam keperluan yang mustahak.

Menurutnya, Pemuda Pas Negeri Selangor memandang serius isu pemandu mabuk yang mengakibatkan seorang anggota polis maut ketika bertugas menjaga sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya LEKAS awal pagi tadi.

“Kerajaan mesti bertindak lebih tegas dan agresif dalam isu pemandu mabuk kerana telah banyak kes kemalangan berlaku sehinggakan mengakibatkan beberapa nyawa terkorban sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis maut dirempuh pemandu mabuk ketika SJR

KPN sedih anggota maut angkara pemandu mabuk

Arwah sempat kongsi detik tahun ke-11 berkhidmat

“Sepanjang tempoh PKP ini, penjualan arak dan apa sahaja yang memabukkan tidak boleh dibenarkan beroperasi kerana minuman atau produk memabukkan bukan termasuk dalam keperluan yang mustahak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Hanafi berkata, Pemuda Pas Selangor konsisten dalam melawan isu arak secara khusus dan bukan sekadar dalam tempoh sepanjang PKP sahaja.

Beliau berharap adanya usaha-usaha bagi mewujudkan satu rang undang-undang pengharaman arak secara berperingkat dibentang oleh kerajaan.

“Pemuda Pas Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohd Ismail atas insiden yang menyedihkan ini.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan mendapat ganjaran baik di sisi ALLAH SWT atas takdir pemergian beliau sewaktu sedang bertugas dan di dalam bulan Ramadan yang mulia,” katanya.

Terdahulu, seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya Op Covid-19 di Kilometer 2.8 Lebuhraya LEKAS arah Plaza Tol Kajang Selatan di sini maut selepas dirempuh pacuan empat roda awal pagi tadi.

Mangsa, Koperal Safwan Mohd Ismail yang berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dipercayai berlaku ketika kenderaan Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum terbabas melanggar sekatan jalan raya hingga merempuh mangsa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!