'Biarlah Shukor Farhan bersara'

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Majlis Sukan Negara (MSN) menyifatkan keputusan pemenang pingat emas acara tiga kilometer kejar-mengejar berbasikal individu di Sukan Para Asean 2017, Shukor Farhan Suliman, 23 yang mahu bersara adalah perkara biasa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, keputusan tersebut diambil oleh atlet berkenaan selepas mengadakan perbincangan antara panel pemilihan yang melibatkan MSN, Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dan ketua jurulatih sukan tersebut.

"Perbincangan diadakan selepas kegagalannya di Sukan Para Asian Jakarta, Indonesia, tahun lalu.

"Hasil perbincangan pelumba itu sendiri yang mahu bersara malah dalam status yang dimuat naik di akaun Facebooknya, beliau ada memberitahu sebabnya.

"Ia sebenarnya adalah perkara biasa kepada mana-mana atlet apabila tiba masanya mereka akan bersara terutama sekiranya mereka berpendapat tidak mampu bersaing untuk mencapai petunjuk prestasi (KPI) sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir Majlis Penutupan Perasmian Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Sukma XX Johor 2020 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Hadir sama; Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Ditanya tentang Shukor Farhan akan diserap menjadi jurulatih pada masa akan datang, Ahmad Shapawi menjawab, perkara itu tertakluk kepada perbincangan lanjut antara MSN dengan atlet itu.

Artikel Berkaitan:

"Ada sesetengah atlet sudah mempunyai hala tuju atau cita-cita mereka sendiri dan ada sesetengah atlet itu tidak tahu hala tuju setelah habis kariernya.

"Kita ada pelbagai program yang dibuat bersama universiti, Institut Latihan Kemahiran dan sebagainya yang mana memberi ruang kepada atlet untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sekaligus menyediakan mereka untuk menghadapi dunia awam," katanya.

Terdahulu, dalam akaun rasmi Shukor Farhan, beliau memaklumkan perlumbaan di Asia Para Games 2018 Jakarta, Indonesia adalah perlumbaan terakhirnya sebagai pelumba basikal paralimpik negara.

Sepanjang pembabitannya dalam sukan lumba basikal, bekas pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran At-Tanwiriah, Parit Jawa, Muar pernah menduduki senarai enam pelumba terbaik dunia.