Hubungan antarabangsa pasca wabak

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) merupakan salah satu musibah dahsyat yang pernah dialami dalam sejarah moden dunia. Nampaknya impak wabak itu tidak hanya dalam bidang kesihatan tetapi termasuk ekonomi serta politik antarabangsa.

Kebanyakan negara dunia mengisytiharkan sekatan atau lockdown untuk memutuskan rangkaian virus Covid-19. Ia menjejaskan ekonomi dan aktiviti perniagaan harian.

Penganalisis ekonomi menggelarkannya sebagai the great lockdown di mana ekonomi dunia terjejas teruk. Menurut World Economic Outlook, pada April lalu pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2020 dijangkakan jatuh tiga peratus.

Ada penganalisis berpendapat ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan paling serius selepas Zaman Kemelesetan Besar atau Great Depression pada tahun 1930-an.

Timbul persoalan bagaimanakah hubungan antarabangsa dalam era pasca pandemik Covid-19? Sejauh manakah perimbangan kuasa atau balance of power yang sedia ada mampu bertahan?

Hubungan antarabangsa pasca-Covid-19 akan menyaksikan kebangkitan semangat nasionalisme yang lebih ketara kerana antara punca yang sering dikaitkan dengan penularan virus itu adalah kehadiran pekerja serta warganegara asing.

Sentimen tersebut dimainkan oleh pemimpin politik populis yang menyalahkan pihak lain terutama warganegara asing untuk mengaburi kelemahan pemerintahan mereka ketika berhadapan masalah jangkitan Covid-19.

Senario perkauman dapat diperhatikan di Australia dan Amerika Syarikat (AS) di mana telah dilaporkan penduduk Asia, khasnya mereka yang berketurunan Cina, menjadi sasaran serangan secara lisan mahupun fizikal oleh sesetengah kumpulan penduduk kulit putih yang menyalahkan mereka sebagai pembawa virus Covid-19.

Jika sentimen curiga dan kebencian itu tidak dikawal, dengan provokasi pemimpin populis seperti Presiden Donald Trump atau Senator Pauline Hanson dari Australia ia akan mencetuskan semangat nasionalisme ultra berbahaya sehingga menjejaskan hubungan antara negara.

Selain itu, senario hubungan antarabangsa pasca-Covid-19 akan memperlihatkan masyarakat antarabangsa lebih mementingkan pembangunan ekonomi dalaman berbanding ekonomi antarabangsa.

Ini bererti ekonomi negara-negara dunia akan menjadi lebih berdikari atau self-sufficient daripada terlalu bergantung kepada luar supaya dapat mengurangkan risiko kemelesetan ekonomi antarabangsa akibat pandemik Covid-19.

Setelah tamatnya pandemik Covid-19, dijangkakan negara-negara mengamalkan dasar ekonomi yang lebih bersifat perlindungan dan tertutup.

Oleh yang demikian, proses globalisasi dan liberalisasi perdagangan yang berkembang rancak semenjak tahun 1990-an akan terjejas. Itu tidak bererti proses globalisasi akan berakhir tetapi diperlahankan.

Bagaimanapun, salah satu kesan positif yang muncul daripada pandemik Covid-19 adalah kerjasama sejagat dalam bidang kesihatan awam serta epidemiologi.

Artikel Berkaitan:

Pandemik Covid-19 mendedahkan limitasi keupayaan kuasa-kuasa besar menghadapi penularan virus Covid-19.

Jelas kuasa Barat seperti AS, Britain serta negara ahli Kesatuan Eropah bertindak lebih perlahan dan kurang efisien berbanding dengan negara-negara di Asia Timur seperti Korea Selatan dan China.

Kepimpinan AS dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 di peringkat antarabangsa dipertikaikan oleh masyarakat antarabangsa dengan sikap Trump yang mengutamakan America First.

Perimbangan kuasa atau balance of power dunia pasca pandemik Covid-19 bakal berubah di mana negara-negara sekutu AS di Eropah mungkin mengadakan hubungan erat dengan China dan Rusia akibat jalinan dan diplomasi anti-virus berbanding AS.

Dunia pasca pandemik Covid-19 akan terus menyaksikan permusuhan dan percaturan kuasa-kuasa besar dan tidak bererti hubungan antarabangsa akan menjadi lebih aman. Kuasa-kuasa besar akan terus bersaing untuk memperluaskan pengaruh.

Ada penganalisis yang berpendapat globalisasi pasca-Covid-19 akan lebih berpaksi kepada China berbanding AS. Apa yang pasti hubungan antarabangsa mengalami perubahan drastik akibat Covid-19.

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya