Jumlah kes perceraian orang Islam membimbangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan kes perceraian di negara ini adalah dalam kalangan orang Islam.

Penasihat One Stop Crisis Centre Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Siti Hawa Ali berkata, perkara tersebut merupakan masalah berat yang sangat membimbangkan.

"Ada lebih 50,000 kes perceraian di negara ini misalnya, sebanyak 40,000 adalah orang Islam.

"Di satu pihak kita rasa orang Islam ada ruang sebab Tuhan izinkan meskipun Tuhan tidak suka tapi diizinkan perceraian. Tapi pada masa sama kita harus lihat kenapa orang tidak boleh cuba menghadapi perkahwinan ini dengan sifat lebih baik.

"Saya tahu kalau ada keganasan, ini sesuatu yang amat membimbangkan," katanya pada program Majlis Ayah: Ayah Pemimpin Masuk Syurga Sekeluarga bertajuk Bahagia Di Rumah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam di sini hari ini.

Hadir sama, johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa 2019, Ustaz Abdul Khair Jalil yang mengalunkan bacaan Surah An-Nisa' ayat 127 hingga 128 manakala Ketua Penyelidik Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur.

Surah An-Nisa' ayat 127 hingga 128 berkisarkan mengenai peranan seorang ayah sebagai pemimpin, pelindung isteri dan anak-anaknya.

Bapa sebagai ketua keluarga wajib untuk mengimbangkan kepentingan dunia dan akhirat bagi memastikan seluruh keluarganya bersama menuju syurga.

Artikel Berkaitan:

Program tersebut disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian (portal, Facebook (FB),YouTube dan Twitter) serta FB Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bermula jam 6 hingga 7 petang setiap hari sepanjang Ramadan.

Siaran ulangan di TV AlHijrah (4.30 hingga 5.30 pagi) dan di Astro Oasis (10.30 hingga 11.30 malam) pada hari berikutnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut menyediakan sesi ‘Berinteraksi dengan Al-Quran; Baca, Faham dan Amal’ khusus untuk lelaki terutama yang bergelar ayah.

Menurutnya, antara pengisian program adalah membina perancangan bersama golongan ayah, baca dan tadabbur ayat al-Quran bersama qari pilihan serta pentadabbur.

“Pengisian lain, dengarkan Pesan Pakar dan Pesan Ulama, panduan dan solusi dari al-Quran, Call to Action buat ayah serta doa bersama.

“Semoga negara ini terbina bersama para ayah dengan mindset al-Quran, memimpin keluarga, isteri dan anak-anak masuk syurga sekeluarga,” katanya.