X

Kindly register in order to view this article
!

Pesona Mew Choo pukau Chong Wei

Chong Wei meraikan ulang tahun kelahiran Mew Choo bersama anak-anak mereka. Foto: FB Lee Chong Wei
A
A

UNGKAPAN cinta dari mata turun ke hati mungkin sesuai digambarkan ke atas bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terhadap isterinya, Datin Wong Mew Choo.

Segala-galanya bermula pada satu kejohanan badminton di Kuala Lumpur kira-kira 15 tahun lalu sebelum Chong Wei dan Mew Choo akhirnya disatukan di pentas mahligai perkahwinan.

Mengimbas kembali detik yang pastinya akan dikenang sepanjang hayatnya itu, Chong Wei mengakui dia seakan-akan berasa 'lemah lutut' apabila kali pertama melihat Mew Choo memasuki dewan pertandingan.

"Sebaik memasuki dewan pertandingan, dia sangat fokus. Dalam otaknya hanya fikir untuk menang, taktik lawan, strategi, tiupan angin dan keadaan dewan, gelanggang sebelah mana lagi 'Ong' dan kata-kata motivasi daripada coach.

"Namun, semua persiapan mental itu masuk 'longkang' apabila dia melihat gadis berusia 14 tahun wakil Selangor. Cara dia jalan masuk gelanggang, memanaskan badan... sangat elegan, sangat cantik. Lemah terus lutut itu budak Penang," cerita Chong Wei dalam laman Facebooknya.

Chong Wei turut memberitahu, 'budak mentah' yang dimaksudkannya itu adalah dirinya sendiri sambil mengakui setiap aksi yang dilakukan di gelanggang ketika itu hanya semata-mata untuk menambat perhatian Mew Choo.

"Mahu minta nombor telefon tetapi dia diawasi oleh kakak dan ibu bapanya. Jadi 'budak mentah' itu berasakan cara terbaik menarik perhatiannya adalah dengan meraih kemenangan.

"Semua pukulan smash, drop dive dan chop adalah untuk membuatkan dia teruja. Setiap kali mengutip mata, matanya curi-curi mencari di sekeliling mengharapkan dia melihatnya.

"'Budak mentah' itu adalah saya dan bidadari di gelanggang itu sudah tentu isteri saya, Wong Mew Choo. Selamat ulang tahun kelahiran buat isteri dan saya amat bersyukur dapat berkenalan dengannya," ujarnya.

Chong Wei yang memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik mengahwini Mew Choo yang juga bekas ratu badminton negara pada 10 November 2012 dan mereka dikurniakan dua orang anak lelaki, Kingston Lee dan Terrence Lee.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!