X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Jumlah jangkitan di Makkah mungkin jauh lebih tinggi

Umat Islam menunaikan solat Isyak di Masjidil Haram selepas pihak berkuasa membenarkan kemasukan terhad di situ. - AFP
A
A

JEDDAH - Ujian saringan terbaharu menunjukkan kes jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di Arab Saudi mungkin jauh lebih tinggi berbanding anggaran rasmi, kata sumber perubatan.

Menurut sumber tiga pegawai perubatan kanan Arab Saudi, hampir 70 peratus atau lebih daripada dua juta penduduk Makkah dijangkiti virus tersebut.

Setakat ini, Arab Saudi merekodkan 24,097 kes jangkitan dengan 169 kematian sekali gus menjadi negara paling terjejas dalam kalangan enam anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

"Jumlah sebenar penularan penyakit ini mungkin tiga atau empat kali ganda lebih tinggi daripada angka rasmi yang diumumkan kerajaan.

"Pihak berkuasa kesihatan menjangkakan jumlah kes Covid-19 akan sampai kemuncak sekitar bulan depan," kata sumber yang enggan namanya disiarkan.

Pada 2 April lalu, kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan perintah berkurung 24 jam serta-merta di kota suci Makkah dan Madinah dalam usaha membasmi penularan Covid-19.

Arab Saudi juga menutup pawagam, pusat membeli-belah dan restoran serta menghentikan penerbangan dalam usaha membendung peningkatan virus itu.

Pada Mac lalu, Arab Saudi menggantung visa umrah berikutan kebimbangan penyebaran wabak Covid-19 yang tidak terkawal dan turut menjejaskan bandar suci Islam.

Pihak berkuasa belum mengumumkan sama ada mereka akan meneruskan musim haji pada tahun ini yang dijadualkan pada akhir Julai.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta pengunjung ke Arab Saudi dari seluruh dunia pada musim haji. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus