Kejohanan Badminton Dunia 2021 ditunda

Juara dunia tiga kali, Carolina Marin. Persekutuan Badminton Sepanyol bersetuju menganjurkan Kejohanan Badminton Dunia 2021 dari 29 November hingga 5 Disember di Stadium Carolina Marin yang dinamakan sempena nama juara dunia tiga kali itu di bandar kelahirannya.
Juara dunia tiga kali, Carolina Marin. Persekutuan Badminton Sepanyol bersetuju menganjurkan Kejohanan Badminton Dunia 2021 dari 29 November hingga 5 Disember di Stadium Carolina Marin yang dinamakan sempena nama juara dunia tiga kali itu di bandar kelahirannya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejohanan Badminton Dunia 2021 yang pada awalnya dijadualkan pada Ogos 2021 di Huelva, Spain, telah dipinda pada akhir tahun depan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Persekutuan Badminton Sepanyol (FESBA) bersetuju menganjurkan kejohanan dwitahunan itu dari 29 November hingga 5 Disember di Stadium Carolina Marin yang dinamakan sempena nama juara dunia tiga kali itu di bandar kelahirannya.

Badan pengurus dunia mendedahkan keputusan terbaru itu akan membolehkan lebih banyak kejohanan diadakan tahun depan selepas Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) menangguhkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke 2021 ekoran pandemik Covid-19 global.

“BWF dan FESBA telah mengadakan perbincangan terbuka dengan penganjur kejohanan untuk meminda pertandingan itu pada akhir tahun ini bagi memastikan kejayaan acara itu untuk pemain, pengiring dan peminat mereka.

“Jadual baharu itu akan membolehkan pemain memberikan tumpuan yang lebih jelas untuk tahun 2021 yang mereka akan mempunyai dua objektif iaitu Sukan Olimpik dan Kejuaraan Dunia,” menurut BWF.

Sementara itu, Presiden BWF Poul-Erik Hoyer Larsen dalam kenyataan sama berkata, keputusan terbaru untuk meminda tarikh Kejohanan Dunia 2021 demi kepentingan terbaik sukan ini.

“BWF dan Persekutuan Badminton Sepanyol yakin penjadualan semula kejohanan itu akan berjaya. Langkah itu membolehkan pertandingan badminton di Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia dijalankan dengan adil untuk semua orang,” menurut legenda badminton Denmark.

Presiden FESBA David Cabello pula menaruh harapan besar Kejohanan Dunia 2021 akan menjadi acara istimewa bagi badminton di Sepanyol dan dunia.

Artikel Berkaitan:

BWF juga berkata, mereka belum menyelesaikan kalendar musim 2021, sambil menambah bahawa pengumuman lanjut akan dibuat mengenai proses kelayakan untuk Sukan Olimpik, Sukan Paralimpik dan Kejohanan Dunia tahun depan. - Bernama