X

Kindly register in order to view this article
!

Program ERP masih dibuka

Datuk M Saravanan
A
A

PUTRAJAYA - Majikan yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) masih boleh mengemukakan permohonan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) bagi membantu pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, program di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu memperuntukkan bantuan sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja terbabit.

Menurutnya, ERP diumumkan kerajaan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) pada 16 Mac lalu membabitkan peruntukkan berjumlah RM120 juta.

"Pihak kementerian ingin memaklumkan bahawa ERP masih berjalan dan majikan masih boleh mengemukakan permohonan. Permohonan yang telah dibuat dan diluluskan juga akan menerima bantuan kewangan di bawah program ini.

"Program ERP ini adalah bantuan segera sebanyak RM600 sebulan kepada pekerja yang menerima notis cuti tanpa gaji oleh majikan yang terjejas akibat Covid-19. Bantuan dibayar kepada pekerja melalui majikan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ERP khusus untuk pekerja swasta yang berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dan bergaji RM4,000 ke bawah.

Ketika ini menurutnya, Perkeso masih memproses permohonan untuk ERP dan akan mengagihkan dana kepada permohonan yang lulus berdasarkan syarat ditetapkan.

"Untuk makluman, setakat 1 Mei 2020, Perkeso telah menerima sebanyak 27,222 permohonan daripada majikan yang membabitkan seramai 230,652 pekerja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus