Sukma empat tahun sekali di peringkat negeri

Ahmad Shapawi dan Mohd Khuzzan bersama antara mereka yang terlibat dengan Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Sukma XX Johor 2020 di Kota Iskandar.
Ahmad Shapawi dan Mohd Khuzzan bersama antara mereka yang terlibat dengan Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Sukma XX Johor 2020 di Kota Iskandar.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) berkemungkinan akan diadakan empat tahun sekali di peringkat negeri secara bergilir.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, ini kerana setiap dua tahun penganjuran temasya sukan itu akan diadakan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, bagaimanapun, cadangan tersebut belum ada keputusan secara rasmi lagi, setakat ini.

"Keputusan rasmi, kita belum wartakan. Tetapi, ada perancangan menjadikan giliran Sukma dua tahun sekali kepada empat tahun sekali mengikut penggiliran di negeri-negeri.

"Jadi, di antara empat tahun, yang tengahnya nanti setiap dua tahun akan dianjurkan oleh MSN sendiri sebagai pemilik Sukma.

"Maka, kita akan gunakan kemudahan-kemudahan sukan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang telah dinaik taraf pada Sukan Sea yang lepas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa hadir Majlis Penutup Perasmian Bengkel Penyelarasan Jawatankuasa Sukma XX Johor 2020 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Exco Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shapawi berkata, cadangan berkenaan juga dapat menggunakan segala kemudahan yang sedia ada untuk dijadikan venue Sukma.

"Langkah ini juga sekaligus dapat memberi rangsangan dan motivasi kepada para atlet negeri untuk bermain di venue yang bertaraf antarabangsa.

"Malah, dalam masa yang sama juga dapat memberi ruang yang lebih selesa kepada negeri tuan rumah akan datang dalam menyediakan untuk penganjuran Sukma seterusnya," katanya.

Beliau berkata, cadangan itu juga merupakan salah satu langkah penjimatan.

"Kalau kita anjurkan semua venue di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, maka kita tidak perlu bina kemudahan-kemudahan baru. Ini kerana kemudahan yang sedia ada masih lagi dapat digunakan.

"Tetapi, perkara belum ada keputusan rasmi. Buat masa telah dianjurkan perbincangan tidak rasmi dengan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan sebagainya dan selepas ini akan ada perbincangan lanjut," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pelaksanaan perancangan itu merupakan kaedah terbaik dan pihaknya memberi sokongan penuh.