Pemalsuan MyKad, JPN lapor polis

Hamzah - Foto Bernama Gambar kecil: Kenyataan KDN dikeluarkan hari ini.
Hamzah - Foto Bernama Gambar kecil: Kenyataan KDN dikeluarkan hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara membuat satu laporan polis semalam berhubung satu laman sesawang yang mengiklan dan menjual MyKad palsu dalam talian.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, siasatan dan tindakan lanjut bakal diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap jenayah pemalsuan MyKad yang mencemarkan nama baik JPN.

"Selain daripada kes tersebut, kementerian ingin menjelaskan bahawa gambar-gambar MyKad yang tular di media sosial pada ketika ini adalah gambar lama yang dimuat naik semula.

"Gambar-gambar tersebut mempunyai kaitan dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang pada 2019.

"Bagaimanapun, tiada gambar dan maklumat pemalsuan Mykad yang baru dapat dikenal pasti," katanya menerusi kenyataan itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, untuk makluman, PDRM telah membuat tangkapan terhadap individu-individu terlibat dengan kes pemalsuan MyKad di Pulau Pinang tahun lalu dan semua tertuduh sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah.

"Ekoran daripada penularan gambar-gambar lama tersebut, terdapat juga desakan beberapa pertubuhan dan individu tertentu yang menggesa kerajaan menukarkan MyKad sedia ada kepada MyKad baharu bagi menangani pemalsuan MyKad.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini, JPN dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan terhadap Mykad khususnya dari segi aspek ciri-ciri keselamatan," kata beliau.

Menurutnya, JPN juga menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dengan mengetatkan proses semakan dan kelulusan dokumen pengenalan diri di samping memantapkan lagi pemantauan dalam sistem JPN.

Menurutnya, kerajaan memandang serius kes-kes yang melibatkan pemalsuan MyKad sama ada ia melibatkan kakitangan JPN ataupun sindiket tertentu.

"PDRM dan JPN akan terus bekerjasama melalui "Ops Biru". Sebuah Pasukan Petugas Khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes pemalsuan MyKad bagi memburu dalang-dalang yang terlibat.

"Kerajaan tidak akan sama sekali melindungi dan berkompromi terhadap sebarang salah laku berkenaan perkara ini.

"Namun demikian, saya memohon orang ramai untuk segera menghentikan penyebaran mesej-mesej yang bersifat berita palsu di media sosial bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan rakyat," katanya.

Beliau berkata, tindakan undang-undang boleh diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Bagaimanapun sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat terkini mengenai sindiket atau kegiatan pemalsuan MyKad, orang ramai boleh terus melaporkan maklumat tersebut kepada KDN, PDRM atau JPN secara langsung," katanya.

Keterangan gambar 1 dan 2 - Kenyataan KDN dikeluarkan hari ini.