Tiga staf jurulatih FC Koln disahkan positif Covid-19

Sebahagian penyokong FC Koln
Sebahagian penyokong FC Koln
A
A
A

Tiga kakitangan kejurulatihan pasukan Bundesliga, FC Koln disahkan positif Covid-19 setelah kembali menjalani latihan di padang latihan skuad berkenaan baru-baru ini.

Menurut kenyataan daripada skuad berkenaan,kesemua kakitangan berkenaan kini menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di kediaman masing-masing setelah menjalani ujian saringan oleh pihak jabatan kesihatan.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu lagi, ketiga-tiga identiti individu berkenaan tidak dapat didedahkan bagi menjaga privasi masing-masing.

“Keseluruhan skuad mula menjalani latihan minggu ini berikutan pengumuman kerajaan yang mengatakan saingan Bundesliga sudah bersedia untuk dimulakan kembali bulan ini.

“Kita juga akan meneruskan latihan seperti yang telah dirancang mengikut kawalan kebersihan dan jangkitan sebagaimana yang dilakukan sejak 6 April lalu dalam latihan berkumpulan,” menurut kenyataan berkenaan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan bahawa perlawanan-perlawanan yang tertangguh sebelum ini boleh dilangsungkan mulai 6 Mei ini.

Pengumuman itu menyaksikan kebanyakan pasukan di Bundesliga kembali menjalani latihan sambil mengharapkan saingan liga kembali bersambung bulan ini, iaitu pada 6 Mei.

Dalam pada itu pengarah urusan kelab berkenaan, Horst Heldt berkata, mereka sentiasa memberikan keutamaan kepada aspek kesihatan kesemua kakitangan dan berpuas hati dengan langkah-langkah yang telah diambil untuk menghalang penularan wabak berkenaan di padang latihan.

Artikel Berkaitan:

"Kita memang memberikan keutamaan kepada aspek kesihatan pemain dan kakitangan kelab ini melebihi perkara lain.

"Berdasarkan kes terbaharu melibatkan tiga kakitangan kami, kami sudah boleh bertindak,’ katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Coronavirus Liga Bola Sepak Jerman, Dr Tim Meye berkata, pihaknya akan sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa kesihatan dan pakar-paker perubatan berhubung perkara berkenan.

“Kita yakin dengan konsep kita, kita boleh benarkan pemain menjalani latihan dengan perlindungan sewajarnya daripada dijangkiti virus berkenaan,” katanya.