Telur ayam tulenlah, bukan plastik!

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini mengesahkan bahawa telur jenama 'klasik' keluaran Heap Soon Farming Sdn Bhd adalah telur ayam tulen dan bukannya diperbuat daripada plastik seperti ditularkan di media sosial.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil tindakan susulan dan menjalankan siasatan ke ladang ayam penelur syarikat tersebut di Trong, Taiping, Perak termasuk ke stor simpanannya di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga mengambil beberapa sampel telur jenama klasik keluaran Heap Soon Farming Sdn Bhd dan dijalankan ujian pengesanan ketulenan di Makmal Kesihatan Awam Veterinar (MKAV), Sepang.

"Hasil keputusan ujian ke atas sampel telur tersebut dengan menggunakan kaedah PCR-RFLP mendapati DNA ayam dikesan dan menunjukkan telur-telur tersebut adalah telur ayam," kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan akhbar Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Kenyataan akhbar Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Terdahulu telur ayam keluaran syarikat terbabit didakwa diperbuat daripada plastik oleh seorang pengguna laman sosial menerusi satu video pendek yang dimuat naik di Facebook baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu lagi, ladang ayam penelur Heap Soon Farming Sdn Bhd adalah ladang ayam berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perak di bawah Enakmen Perladangan Unggas, Negeri Perak 2005 dan memiliki sijil pengiktirafan MyGAP atau Malaysian Good Agricultural Practices.

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar ingin menasihatkan orang ramai supaya merujuk dan melaporkan kepada jabatan itu untuk pengesahan atau penjelasan di atas sebarang kemusykilan atau kesangsian berhubung perkara–perkara berkaitan.

Artikel Berkaitan: