Juruteknik kongsi pengalaman bayar zakat fitrah pandu lalu

Mohd Afpandi bersama tiga anaknya menunjukkan kupon bayaran zakat selepas menunaikan kewajipan itu menerusi kaedah pandu lalu di Masjid Jamek Sultan Ibrahim hari ini.
Mohd Afpandi bersama tiga anaknya menunjukkan kupon bayaran zakat selepas menunaikan kewajipan itu menerusi kaedah pandu lalu di Masjid Jamek Sultan Ibrahim hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang juruteknik sebuah hotel berkongsi pengalamannya membayar zakat fitrah menggunakan kaedah pandu lalu yang pertama kali dilaksanakan pada Ramadan tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Afpandi Mohd Sohol, 37, berkata, rukun Islam keempat itu disempurnakan bagi dirinya dan empat tanggungannya di Masjid Jamek Sultan Ibrahim, di sini pada jam 12.15 tengahari tadi.

Menurutnya, mekanisme yang diperkenalkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) melalui Penolong Amil Fitrah (PAF) yang dilantik di masjid serta surau memberi peluang kepada golongan kurang mahir dengan teknologi menunaikan kewajipan itu sepanjang Ramadan ini.

"Saya memilih cara pandu lalu kerana lebih mudah dan dapat bertentang mata dengan amil fitrah ketika membayar zakat," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Afpandi berkata, kaedah pembayaran pandu lalu yang hanya mengambil masa kira-kira tiga minit perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Saya membuat pembayaran dengan mengikut panduan penjarakan sosial dan tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat serta segera beredar selepas urusan pembayaran selesai.

"Pembayarannya mudah kerana sudah disediakan kaunter khas di hadapan masjid untuk tujuan pembayaran secara pandu lalu," katanya yang menetap di Taman Malawati Utama.

Katanya, tiada bezanya membayar zakat fitrah secara pandu lalu atau menerusi dalam talian asalkan tanggungjawab itu dilaksanakan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Syukur saya sudah laksanakannya dan selepas ini dapatlah fokus kepada ibadah lain sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Sebelum ini, LZS memaklumkan, pelaksanaan pembayaran zakat melalui PAF itu sudah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaras dengan hasrat baginda memudahkan pengeluar zakat terutama warga emas yang tidak mahir teknologi menunaikan zakat.

Bagaimanapun, pelaksanaan itu tertakluk kepada SOP yang dibangunkan LZS berdasarkan panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).