X

Kindly register in order to view this article
!

Presma minta kerajaan kaji semula jarak meja makan 2 meter

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta mengkaji semula pelaksanaan penyusunan meja makan dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter di setiap restoran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Isnin ini.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan memberi kelonggaran kepada beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi sepanjang PKPB ini, namun pelaksanaan jarak kedudukan meja ditetapkan itu dilihat tidak begitu bersesuaian memandangkan jaraknya agak jauh.

"Bagi restoran-restoran di lokasi 'corner lot', mungkin tidak ada masalah sangat sebab sekurang-kurangnya mereka dapat letak kira-kira 10 meja dengan jarak 2 meter itu namun bagi restoran-restoran lot tengah, pastinya sukar kerana mereka hanya dapat letak sekitar empat meja sahaja pada satu masa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengusaha restoran boleh kembali beroperasi mulai Isnin ini dengan mengamalkan langkah pencegahan dan mematuhi peraturan beroperasi sepanjang PKPB.

Dalam memastikan keselamatan pelanggan, Muhyiddin mengingatkan supaya meja disusun dengan jarak sekurang-kurangnya 2 meter antara satu sama lain.

Mengulas lanjut, pihaknya turut mencadangkan jarak meja 2 meter dikurangkan kepada 1 meter bagi memudahkan operasi pengusaha restoran.

"Bagaimanapun, kita akur dengan sebarang keputusan kerajaan kerana kami faham pandemik (koronavirus) Covid-19 ini sangat bahaya dan disebabkan itu, apa keputusan kerajaan kita akur kerana Presma juga mahu memainkan peranan dalam membasmi Covid-19," katanya.

Beliau berkata, Presma juga berharap kerajaan dapat memberi lebih kelonggaran buat pengusaha restoran untuk beroperasi selepas Hari Raya Aidilfitri ini sekiranya wabak Covid-19 semakin pulih.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!