Garis panduan solat waktu kerja dilancar

Mahfuz (dua, kanan) melihat risalah Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja yang diterbitkan, hari ini.
Mahfuz (dua, kanan) melihat risalah Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja yang diterbitkan, hari ini.
A
A
A

BATU GAJAH - Kementerian Sumber Manusia menetapkan sekurang-kurangnya 20 minit untuk solat lima waktu dan 1 jam 30 minit solat Jumaat bagi pelepasan waktu pekerja menunaikan solat.

Perkara itu antara yang disyorkan kepada majikan dalam Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja khusus untuk sektor swasta yang mula diterbitkan di seluruh negara, hari ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, garis panduan yang dihasilkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu telah mengambil kira pandangan mufti-mufti menerusi Mesyuarat Panel Pakar Syariah sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, ia dikeluarkan berikutan aduan diterima JTK daripada kalangan pekerja muslim berhubung isu solat dan persoalan majikan berkaitan pelaksanaan solat dalam waktu kerja.

"Inisiatif mengeluarkan garis panduan ini telah dimulakan sejak 2017 lagi ekoran aduan-aduan diterima pelbagai pihak khususnya pekerja yang menghadapi kesulitan menunaikan solat kerana tiada pelepasan waktu diberikan.

"Walaupun dikategorikan sebagai kes terpencil, ia boleh mencetuskan suasana tidak sihat kalangan pelbagai kaum sekiranya tidak ditangani.

"Jadi sebelum pertikaiannya pergi terlalu jauh, kita ambil langkah-langkah mengharmonikan kembali keadaan dengan menyediakan garis panduan seperti ini agar majikan tidak terasa begitu berat melepaskan mereka dalam jangka waktu lama," katanya kepada pemberita sempena Pelancaran Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja di Camfil Malaysia Sdn Bhd, hari ini.

Tahun lalu, daripada 4,468 aduan diterima JTK, hanya 0.3 peratus atau 15 aduan adalah melibatkan isu solat ketika waktu bekerja.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, garis panduan berkenaan adalah selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan dan pekerja-pekerja Muslim hendaklah dibenarkan menunaikan solat dalam waktu telah ditetapkan.

Katanya, selain memberikan pelepasan waktu menunaikan solat, majikan juga disaran menyediakan tempat solat yang bersih dan berasingan antara lelaki dan wanita; kelengkapan asas solat seperti sejadah; tempat ambil wuduk yang berhampiran juga petunjuk arah kiblat disahkan Jabatan Mufti Negeri.

"Majoriti majikan di negara ini sangat prihatin dengan persekitaran masyarakat Islam, walaupun mereka dari luar dan datang membuat pelaburan, mereka memahami perlembagaan negara, struktur raja berperlembagaan dan agama Islam sebagai agama persekutuan.

"Cumanya sebagai pekerja, janganlah mengambil kesempatan terhadap pelepasan waktu diberikan untuk tujuan lain, gunakan ruang itu untuk tujuan sebetulnya iaitu menunaikan solat," katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, kementerian juga sedang dalam perancangan untuk menerbitkan garis panduan berpakaian bagi pekerja wanita beragama Islam.

"Garis panduan ini bertujuan mengelak kekeliruan antara majikan dan pekerja mengenai etika berpakaian yang bersesuaian dalam pelbagai bidang pekerjaan terutamanya sektor swasta," katanya.

Camfil Malaysia Sdn Bhd yang bertapak di Kawasan Perindustrian Bemban merupakan antara syarikat pengeluar penapis udara terbesar di dunia dengan 55 peratus pekerjanya adalah muslim.

Kemudahan ruang solat dan pelepasan waktu untuk solat telah disediakan syarikat itu sejak 15 tahun lalu.