Saripuddin dilantik Pengerusi Eksekutif Mavcom

Saripuddin Kassim
Saripuddin Kassim
A
A
A

PUTRAJAYA- Datuk Seri Saripuddin Kassim telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkuat kuasa 4 Mei.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini berkata, Saripuddin akan menggantikan Dr Nungsari Ahmad Radhi, yang meletakkan jawatan pada 10 April.

Ka Siong berkata, Saripuddin adalah penjawat awam profesional yang telah berkhidmat dengan kerajaan hampir empat dekad, dengan baru-baru ini sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan.

Beliau juga merupakan bekas ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan luas beliau dalam beberapa sektor pengangkutan, Ka Siong berkata, Saripuddin menjadi ahli lembaga pengarah beberapa pihak berkuasa pelabuhan termasuk Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Melaka, Pelabuhan Labuan dan Pelabuhan Bintulu serta Prasarana Bhd, MyHSR Corporation Sdn Bhd dan Railway Assets Corporation.

"Sebagai mewakili kementerian saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Nungsari atas kepimpinan dan khidmatnya yang tidak ternilai, dan semoga beliau sentiasa berjaya dalam bidang yang diceburi,” kata Ka Siong. -Bernama

Artikel Berkaitan: