Tak sempat jual hasil pecah rumah

Noorzainy (tengah) menunjukkan barangan hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan suspek.
Noorzainy (tengah) menunjukkan barangan hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan suspek.
A
A
A

KEPALA BATAS - Hasrat dua penjenayah menjual barangan hasil kegiatan pecah rumah tidak kesampaian apabila mereka dicekup polis dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kota Aur di sini, Rabu lalu.

Serbuan yang dilakukan jam 7 malam itu oleh pasukan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) selepas mendapati dua lelaki berkenaan yang berusia 23 dan 27 tahun itu terlibat dengan kejadian pecah masuk dua buah inap desa dan curi tayar kenderaan di Taman Penaga, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan berkenaan polis merampas beberapa buah televisyen berjenama, kipas dinding, lima biji sport rim dan peralatan membuka tayar.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dua kes pecah inap desa, dua kes curi tayar kenderaan dan satu kes pecah rumah sarang burung walit yang dilaporkan sebelum ini.

"Kedua-dua suspek mengaku melakukan kegiatan jenayah ini bersama seorang lagi rakan mereka yang bernama Bucu.

"Mereka mengakui barang-barang yang dicuri dari inap desa akan dijual untuk menampung perbelanjaan harian namun disebabkan terlalu banyak sekatan jalan raya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka tidak sempat untuk menjual dan hantar kepada pembeli," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Noorzainy menunjukkan tayar sport rim yang dirampas daripada suspek.
Noorzainy menunjukkan tayar sport rim yang dirampas daripada suspek.

Noorzainy berkata, semakan yang dibuat mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah malah hasil daripada barangan curi yang dijual juga dikatakan untuk membeli bekalan dadah mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kedua-dua suspek kini direman sehingga 4 Mei depan untuk tindakan lanjut serta kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk rumah dan curi kenderaan.