Melaka agih lampin pakai buang dewasa RM1.4 juta

Adly Zahari
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1.4 juta bagi program lampin pakai buang dewasa yang akan diagihkan kepada setiap 28 Dun dalam masa terdekat ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, RM650,000 daripada jumlah itu telah diluluskan melalui dana kewangan negeri dan selebihnya merupakan dana yang disumbangkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang komited untuk bersama menjayakan program pemberian lampin dewasa.

Menurutnya, pemilihan penerima berdasarkan kepada laporan bancian yang akan dilakukan di peringkat JAPERUN dengan memberi keutamaan kepada warga emas yang kurang bernasib baik dan memerlukan selain maklumat data Jabatan Kebaijikan Masyarakat (JKM).

"Kita akan agihkan kepada pejabat daerah untuk disalurkan kepada setiap JAPERUN, kerana mereka yang akan memilih penerima yang benar-benar layak untuk mendapatkan bantuan ini.

"Peruntukan yang diluluskan adalah bagi tempoh sepanjang tahun ini dan jumlah yang akan menerima bantuan lampin pakai buang bagaimanapun belum dapat dipastikan lagi," katanya.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat kerajaan negeri di Seri Negeri, di Ayer Keroh, hari ini.

Adly yang juga Adun Bukit Katil berkata, pihaknya juga akan membuat penyelarasan tempoh perkhidmatan bagi penjawatan awam lantikan kerajaan negeri termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), penyelaras dan kakitangan JAPERUN dalam tempoh setahun.

Menurutnya, semua jawatan itu akan dinilai semula dalam tempoh setahun sebelum kerajaan negeri membuat keputusan sama ada perkhidmatan diteruskan atau sebaliknya.

Katanya, keputusan kerajaan negeri itu bagi melahirkan pekerja cemerlang dalam sektor awam selain mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Ramai yang akan terlibat dalam tempoh penilaian setahun itu termasuk MPKK seramai 307 orang yang akan dikira berdasarkan tarikh pertama emolumen dibayar.

"Namun sepanjang tempoh itu mereka masih tertakluk pada peraturan, integriti dan isu jenayah yang membolehkan kerajaan negeri mengambil sebarang tindakan, walaupun perjawatan dinilai semula selepas tempoh setahun," katanya.