X

Kindly register in order to view this article
!

DUN Negeri Sembilan bersidang sehari

Persidangan DUN Negeri Sembilan akan berlangsung selama sehari pada Isnin ini.
A
A

SEREMBAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan berlangsung selama sehari sahaja pada 4 Mei ini.

Speaker DUN Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohammad Omar berkata, persidangan DUN yang sepatutnya berlangsung selama enam hari itu terpaksa ditunda berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, notis makluman mengenai perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Sebelum ini kita keluarkan notis makluman bersidang selama enam hari bermula 4 Mei sehingga 13 Mei yang dimaklumkan kepada semua sebelum perintah PKP lagi, namun disebabkan tempoh PKP ini masih diteruskan maka kita perlu akur dan terpaksa melakukannya untuk sehari sahaja.

"Persidangan DUN yang berlangsung itu hanya akan ada titah ucapan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sahaja.

"Selepas itu dewan akan ditangguhkan, segala soalan yang dibangkitkan akan dijawab secara bertulis dalam tempoh lima hari," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya dekat sini hari ini.

Tambah Zulkefly, kedudukan ahli dewan juga akan disusun mengikut penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain dan tempat akan digunakan secara menyeluruh untuk menempatkan ADUN.

Katanya, kehadiran pada kali ini adalah terhad, hanya wakil rakyat, anggota polis dan pasukan kesihatan yang dibenarkan menghadiri sidang DUN kali ini.

"Setiap ahli dewan yang hadir perlu menjalani pemeriksaan suhu badan bagi memastikan tahap kesihatan mereka baik pada hari tersebut," katanya.

Sidang DUN Negeri Sembilan dijangka akan berlangsung pada jam 10 pagi dan akan berakhir sebelum jam 12 tengah hari.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!