Gantung sumbangan makanan di pagar

Paparan Facebook Dwi menarik perhatian hingga masyarakat luar turut melakukan perkara sama di kawasan mereka.
Paparan Facebook Dwi menarik perhatian hingga masyarakat luar turut melakukan perkara sama di kawasan mereka.
A
A
A

BANDUNG - Bagi meringankan beban penduduk yang terkesan akibat wabak koronavirus (Covid-19), seorang guru di sini menghulurkan bantuan dengan menggantung bungkusan bahan makanan di pagar rumahnya untuk mereka yang memerlukan.

Menerusi Tribun News, Dwi Fitria Ambarina menggantungkan enam hingga 12 bungkusan berisi sayuran atau bahan masakan makanan setiap hari di pagar rumahnya itu.

Beliau yang juga guru bimbingan kaunseling (BK) dari SMA Negeri 4 Cimahi melahirkan rasa syukur apabila melihat wajah gembira penduduk ketika mengambil sumbangan tersebut.

"Saya gembira bila lihat mereka senyum. Sebagai membalas sumbangan itu, mereka telah mendoakan kesejahteraan saya dan keluarga," ujarnya.

Dwi menceritakan, penduduk di kampungnya sangat beradab dan toleransi.

"Bila nampak saya mereka akan minta izin, jika tidak, mereka sekadar mengucap terima kasih sahaja dari luar rumah.

"Saya amat bersyukur kerana semua sayuran itu habis," katanya.

Menurut Dwi, dalam situasi wabak Covid-19, ekonomi negara tidak memberangsangkan mengakibatkan ramai hilang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga tidak tahu keadaan ekonomi sesebuah keluarga. Walaupun rumah mereka cantik, belum tentu sumber pendapatan mereka kukuh.

"Ini kerana mereka yang mengambil makanan bukan sahaja golongan memerlukan tetapi terdapat juga golongan pertengahan." katanya.

Selain dari sayuran, Dwi juga menyediakan keperluan harian seperti telur, beras dan bahan masakan.

Sebelum ini, kisah penuh inspirasi tular di laman sosial hingga mendorong pengguna Facebook lain melakukan perkara sama di lokasi kejiranan mereka.

Walaupun dianggap hanya sumbangan kecil tetapi ia tetap besar maknanya kepada sesebuah keluarga.