PTPTN prihatin bantu KKM perangi Covid-19

Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan PPE dan PAPR daripada PTPTN kepada Adham di Putrajaya semalam. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Wan Saiful (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan PPE dan PAPR daripada PTPTN kepada Adham di Putrajaya semalam. - Foto Sinar Harian/SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Prihatin dengan usaha kerajaan memerangi wabak koronavirus (Covid-19), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil memberikan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sumbangan yang diberikan itu berupa 1,000 unit peralatan pelindungan diri (PPE) dan 10 set powered air purifying respirator (PAPR) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM160,000.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, sebagai sebuah organisasi yang cakna dan prihatin, pihaknya turut terpanggil untuk memberikan sumbangan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada petugas barisan hadapan.

Katanya, sumbangan itu dikhususkan kepada dua hospital yang mengendalikan kes Covid-19 iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Selayang.

"PTPTN berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu KKM dan pihak hospital dalam menyediakan perlindungan kepada petugas barisan hadapan yang banyak berkorban menentang penularan wabak ini.

"Kita perlu berganding bahu untuk membendung penyebaran Covid-19 dan PTPTN beriltizam menghulurkan bantuan.

"KKM dan semua petugas barisan hadapan perubatan memainkan peranan paling kritikal dan PTPTN berbesar hati dapat memberikan sokongan dalam bentuk keperluan peralatan perlindungan peribadi Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan itu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di KKM di sini semalam.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, PTPTN juga sedia untuk menghulurkan bantuan pada masa akan datang mengikut kemampuan.

"Kita akan melihat lagi bentuk bantuan yang diperlukan dan jika kita berkemampuan kita akan memastikan bantuan sewajarnya diberikan.

"Di kesempatan ini juga saya mewakili PTPTN dan seluruh rakyat Malaysia ingin berterima kepada semua petugas barisan hadapan khususnya KKM kerana begitu komited dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan ini," katanya.