Covid-19: Perak negeri terbaharu zon hijau

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Perak menjadi negeri keempat berada di zon hijau sepenuhnya apabila keseluruhan daerahnya sifar kes Covid-19.

Menerusi data yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, dua kes positif yang dikesan sebelum ini dengan masing-masing satu kes di Kinta dan Manjung telah pulih selepas merekodkan 253 kes jangkitan Covid-19 keseluruhannya.

Selain itu, Pulau Pinang turut menghampiri zon hijau apabila hanya dua daerah masih mempunyai kes positif dengan masing-masing satu kes di Seberang Perai Tengah dan Barat Daya.

Pahang masih mempunyai 55 lagi kes aktif di dua daripada 11 daerahnya iaitu Jerantut merekodkan 18 kes dan Kuantan sebanyak 37 kes.

Menerusi data itu juga, menyaksikan hanya satu zon merah berada di Selangor iaitu di daerah Hulu Langat dengan 62 kes.

Sementara itu di Sarawak dua zon merah masih kekal di Kuching (165 kes) dan Samarahan (62 kes) manakala di Sabah juga kekal dengan tiga zon kuning iaitu di Keningau (12 kes), Penampang (empat kes) serta Beluran (satu kes).

Setakat jam 12 tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 6,002 kes positif Covid-19 sejak wabak itu melanda negara pada 25 Januari lalu.

Daripada jumlah itu, hanya 1,729 masih dirawat di hospital.

Artikel Berkaitan: