Perjalanan rentas negeri termasuk pulang raya tidak dibenarkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan memutuskan perjalanan rentas sempadan negeri termasuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri masih tidak dibenarkan kepada mana-mana rakyat negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan bermula 4 Mei ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebenaran perjalanan rentas sempadan negeri itu bagaimanapun dikecualikan untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

"Selain itu, majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan adalah tidak dibenarkan.

"Aktiviti keagamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan,"katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen tempatan dan media sosial di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menegaskan buat masa ini, semua sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi masih belum dibuka.

"Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

"Senarai ini akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes-kes jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19),"katanya.

Artikel Berkaitan: