CGM salur bantuan RM3.672 juta ke Gaza

Nadir (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pek iftar kepada orang miskin di Gaza.
Nadir (dua dari kiri) menyampaikan bantuan pek iftar kepada orang miskin di Gaza.
A
A
A

ORANG ramai dialu-alukan menyumbang untuk membantu meringankan beban umat Islam di Gaza menerusi tabung Projek Ramadan.

Pengurus Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Siti Nur Afifah Muhab Shah berkata, umat Islam di Gaza ketika ini menjalani ibadah puasa dalam keadaan krisis koronavirus (Covid-19) yang masih berlanjutan.

Menurutnya, kutipan tabung itu sehingga Selasa lalu berjumlah RM254,000 dan pihaknya sedang giat melakukan kutipan bagi menjayakan Projek Ramadan 2020 yang bertemakan ‘Ramadan Bulan Berkongsi Kebahagiaan’.

Beliau berkata, program yang lebih memfokuskan kepada projek jangka masa panjang itu terbahagi kepada sembilan kategori iaitu perubatan, kebajikan, belia, teknologi hijau, infrastruktur, pendidikan, pengajian Quran dan Islam, Ramadan serta seni dan budaya.

“Bagi kategori perubatan, kita salur bantuan ke pusat kesihatan di sana iaitu di Markaz Saja dan Klinik Red Crescent Khan Yunus. Dari segi kebajikan pula kita beri sumbangan pek iftar dan menanggung kos operasi Rumah Orang Tua Al-Wafaa’.

“Di bawah kategori teknologi hijau, kita rancang wujudkan Bandar Agro-Tourism fasa satu, di mana melaluinya kita menggalakkan penduduk Gaza melakukan projek penanaman strawberi, penternakan lembu dan agro pelancongan dengan menjadikan kawasan Cameron Highlands dan Kundasang sebagai model,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Nadir (dua dari kiri) bersama sukarelawan melakukan persediaan untuk mengagihkan pek barang dapur pra-Ramadan 2020.
Nadir (dua dari kiri) bersama sukarelawan melakukan persediaan untuk mengagihkan pek barang dapur pra-Ramadan 2020.

Galak penanaman buah strawberi

Artikel Berkaitan:

Siti Nur Afifah berkata, pihaknya menggalakkan penanaman strawberi kerana Gaza popular dengan pengeluaran buah itu yang berkualiti tinggi kerana bersaiz besar dan rasanya sangat manis.

“Menerusi inisiatif teknologi hijau juga kita akan sediakan sistem tenaga solar di pusat-pusat perlindungan anak-anak Gaza.

“Di bawah kategori infrastruktur pula kita merancang untuk buka kilang roti untuk beri lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Gaza kerana kita dapati lebih 50 peratus daripada mereka tidak bekerja disebabkan faktor keadaan negara itu,” katanya.

Jelasnya, melalui kategori pendidikan, anak-anak Gaza diberikan bantuan Biasiswa Sekolah Malaysia dan Biasiswa Projek Rantissi yang dikhaskan kepada pelajar bidang perubatan.

Beliau berkata, kesemua usaha tersebut dirancang untuk dilakukan dalam tempoh setahun bermula dari awal Ramadan tahun ini sehingga tahun depan.

Bagaimanapun katanya, pihaknya masih mengekalkan bantuan kategori Ramadan seperti tahun lalu iaitu bantuan berbentuk makanan dan pakaian membabitkan penyediaan pek iftar Ramadan, pek sayur serta pemberian baju raya kepada penduduk negara itu.

“Ramadan tahun lepas kita lebih beri tumpuan untuk penyediaan pek iftar dan sahur tetapi untuk Ramadan kali ini kita beri tumpuan secara lebih menyeluruh serta untuk jangka masa panjang.

“Dalam program Ramadan tahun lalu kita berjaya mengumpulkan dana berjumlah RM2.7 juta dan untuk tahun ini sasaran ditingkatkan lagi supaya lebih ramai penduduk Gaza memperoleh manfaat,” katanya.

Siti Nur Afifah berkata, CGM juga baru sahaja menyalurkan bantuan berjumlah RM1.1 juta dalam bentuk mesin ventilator kepada Gaza menerusi tabung kecemasan yang dikumpulkan selama tiga minggu yang berakhir Khamis lalu.

CGM mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada NGO serta orang ramai untuk membantu Gaza.
CGM mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada NGO serta orang ramai untuk membantu Gaza.

Menurutnya, pihak CGM membeli mesin ventilator sebanyak 10 unit dan menyalurkan bantuan itu kepada hospital dan klinik yang menyediakan rawatan ke atas pesakit Covid-19.

“Kita buat kutipan kecemasan untuk bantu hospital dan klinik di Gaza yang memerlukan supaya penularan wabak di sana cepat dihentikan kerana kita bimbang dengan jumlah penduduk di sana yang padat, wabak akan merebak dengan cepat jika tidak segera ditangani.

“Setakat ini sebanyak 13 kes jangkitan Covid-19 direkodkan di Gaza dan kita harap keadaan akan kembali pulih seperti biasa dengan segera,” katanya.

Jalin kerjasama dengan kementerian di Gaza

Siti Nur Afifah berkata, kesemua dana yang dikumpulkan disalurkan secara terus kepada pengasas CGM, Nadir Al-Nuri yang merupakan rakyat Malaysia tunggal yang menetap di Gaza.

Katanya, dana itu disalurkan dalam bentuk kewangan dan pembelian barangan pula diuruskan pasukan sukarelawan Wisma Malaysia di negara itu.

Menurutnya, Wisma Malaysia terdiri daripada gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara ini dan mereka bekerjasama dengan pihak Kementerian Gaza dalam menyampaikan sumbangan yang telah dikumpulkan.

Ditanya mengenai latar belakang CGM, beliau berkata, CGM ditubuhkan secara rasmi pada 2014, namun penyaluran bantuan kepada Gaza telah dimulakan sejak 2013 atas nama ‘From Gaza With Love’ sebelum wujudnya CGM.

CGM turut memberi fokus kepada penyaluran bantuan pendidikan di Gaza bagi Projek Ramadan 2020.
CGM turut memberi fokus kepada penyaluran bantuan pendidikan di Gaza bagi Projek Ramadan 2020.

“Pejabat CGM terletak di Bangi Sentral dan mempunyai lapan kakitangan serta memiliki seramai 200 sukarelawan dalam talian (online).

“Dalam situasi penularan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang kita gerakkan sukarelawan yang bertindak menyebarkan maklumat mengenai kempen-kempen yang dijalankan CGM kepada orang ramai menerusi pelbagai platform online,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian dengan melayari laman sesawang www.ramadan4gaza.com atau menyalurkan sumbangan secara terus ke akaun Maybank CGM yang bernombor 564810507826.

Katanya, CGM juga mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada NGO-NGO yang berminat dalam kerja-kerja penyampaian bantuan kepada Gaza dan mereka yang berminat, boleh menghubunginya menerusi talian 016-463 6354.