Konsep Masjid Rahmah kukuhkan institusi penting umat Islam

Mujahid (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Picoms dan Jawi.
Mujahid (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Picoms dan Jawi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperkenalkan konsep Masjid Rahmah yang membawa maksud ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat, selari dengan usaha untuk memperkukuhkan lagi institusi penting umat Islam itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, usaha yang dilakukan itu bakal menjadikan Malaysia sebagai contoh pusat kecemerlangan dan perubahan kepada dunia.

"Institusi masjid merupakan pelantar penting untuk menyampaikan apa sahaja maklumat kepada masyarakat di semua peringkat.

"Justeru, dalam usaha untuk membawa perubahan dan menjadikan Malaysia sebagai model pentadbiran Islam yang unggul berteraskan inklusif dan progresif pendekatan yang digunakan juga perlu seiring dengan arus permodenan.

"Meskipun memberi fokus kepada arus permodenan supaya institusi penting itu tidak ketinggalan, namun asas utama masjid sebagai tempat beribadat tidak berubah,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menyempurnakan majlis perasmian Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail

Menurut Mujahid lagi, pengurusan masjid juga perlu berubah dan tidak seharusnya terikat dengan kaedah lama yang dirasakan telah cukup selesa.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada barisan jawatankuasa masjid dan surau sekitar Kuala Lumpur menghadiri kongres bertemakan ‘Masjid Berdaya, Ummah Sejahtera itu.

Kongres itu juga julung kali diadakan secara bersama melibatkan Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sementara itu, dalam majlis sama, turut berlangsung majlis menandatangani perjanjian antara Jawi dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Pusrawi International College of Medical Sciences (Picom).