Penutupan BluInc bukti organisasi penerbitan kritikal

Chamil. Gambar kiri: Kenyataan media berkenaan penutupan operasi penerbitan versi cetak dan digital BluInc.
Chamil. Gambar kiri: Kenyataan media berkenaan penutupan operasi penerbitan versi cetak dan digital BluInc.
A
A
A

SHAH ALAM - Penutupan operasi majalah tempatan BluInc Media Sdn Bhd versi cetak dan digital membuktikan organisasi penerbitan majalah dan akhbar di negara ini sedang menghadapi tekanan kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya berkata, situasi kritikal yang dihadapi oleh organisasi media sudah dijangka sebelum ini.

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana pembaca dan pengiklan mula beralih kepada medium digital.

“Pengurangan iklan menyebabkan organisasi media menghadapi kekangan kewangan yang agak kritikal.

“Saya berpendapat BluInc sudah sampai ke tahap kritikal dan pasaran majalah di pasaran terbuka merosot mungkin pembaca sudah beralih ke online. Bagaimanapun, di online ini saya tidak pasti sama ada mereka mengenakan bayaran atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Chamil berkata demikian mengulas mengenai penutupan operasi penerbitan majalah tempatan Blu Inc versi penerbitan cetak dan digital berkuatkuasa semalam.

BluInc merupakan sebuah syarikat penerbitan majalah terbesar negara yang sudah beroperasi sejak 1974 dan telah menerbitkan beberapa majalah terkenal antaranya CLEO, Cosmopolitan, Female, Glam Deko, HerWorld, Jelita, Marie Claire, Harper’s Bazaar, EH! dan Glam.

Ketua Pengarah Eksekutif BluInc, Azliza Tajuddin berkata, penutupan operasi penerbitan cetak dan digital berlaku disebabkan cabaran digital dan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Lembaga Pengarah memutuskan menghentikan operasi bahagian cetak dan digital BluInc.

Sementara itu, Chamil berkata, walaupun ramai pembaca menggunakan perkhidmatan secara online kerana aksesnya percuma, namun keghairahan pengiklan untuk mengiklankan produk dalam penerbitan digital tempatan juga berkurangan.

“Mungkin mereka merasakan visit visitor untuk penerbitan berkenaan tidak cukup tinggi jadi pengiklan lebih tertarik meletakkan iklan di Yahoo, Facebook, Google berbanding penerbitan tempatan," katanya.